Monday, January 14, 2013

Bantuan Awal Persekolahan RM100; RM498j mula diagih esok

Bantuan khas awal persekolahan RM100: Ibu bapa akan terima secara berperingkat sehingga 15 Februari

Batu Pahat: Sebanyak RM498 juta peruntukan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada setiap 4.98 juta pelajar di seluruh negara akan diagihkan mulai esok.
Ia diberikan terus kepada ibu bapa secara berperingkat sehingga 15 Februari depan.

"Kita akan pastikan bayaran akan berjalan lancar. Pihak sekolah diingatkan supaya membayar terus RM100 kepada ibu bapa tanpa apa-apa potongan hutang tertunggak atau bayaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," Dr Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata peruntukan sebenar yang disediakan bagi 2013 adalah RM540 juta, termasuk untuk pelajar sekolah swasta dan sekolah agama rakyat, tetapi kementerian belum menerima jumlah sebenar pelajar terbabit.

Bayar tanpa potong hutang tertunggak

“Bagaimanapun, kita akan pastikan bayaran akan berjalan lancar. Pihak sekolah diingatkan supaya membayar terus RM100 kepada ibu bapa tanpa apa-apa potongan hutang tertunggak atau bayaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya selepas program ramah mesra bersama penduduk Bakau Chondong di Parit Gantung, di sini semalam.

Sementara itu, Mohd Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, berkata RM3.8 bilion dibelanjakan kerajaan tahun lalu bagi bantuan pendidikan kepada pelajar di seluruh negara.
Rancangan makanan tambahan

Katanya, ia termasuk Rancangan Makanan Tambahan, makanan di asrama harian dan asrama penuh, Biasiswa Kecil Persekutuan sekolah menengah, bantuan tuisyen, bantuan buku teks serta Susu 1Malaysia.

“Contohnya makanan di asrama penuh dan harian, kos makanan pelajar adalah RM15 sehari, tetapi ibu bapa hanya perlu membayar RM1 sahaja, manakala RM14 lagi ditanggung kerajaan membabitkan minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam serta minum lewat malam.

“Semua pelajar di asrama harian atau asrama penuh layak menerima subsidi ini, manakala pelajar asrama desa menerima 100 peratus bantuan tanpa perlu membayar apa-apa.

“Malah, untuk Biasiswa Kecil Persekutuan bagi pelajar sekolah menengah, penerima dibayar RM300 setiap seorang,” katanya.
Dipetik daripada BH.
Cikgu Sharul - Terima kasih, bantuan ini sangat diperlukan bagi yang kurang mampu...

Monday, November 19, 2012

UPSR 2012: 45,054 calon dapat semua A

Sebanyak 45,054 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mencatat A dalam semua mata pelajaran, menurun 0.54 peratus berbanding 46,012 calon pada tahun lalu.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Dr Na''imah Ishak berkata pencapaian keseluruhan juga menurun sebanyak 0.01 mata Gred Purata Nasional (GPN) iaitu daripada 2.30 tahun lalu kepada 2.31 tahun ini.

"Sebab penurunan ini masih belum diketahui dan jabatan pelajaran negeri dan sekolah-sekolah akan membuat kajian mengenainya selepas ini," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR, di sini hari ini.

Sebanyak 517,139 calon menduduki UPSR tahun ini, iaitu meningkat 3.9 peratus berbanding 497,691 tahun lalu, dan daripada jumlah itu 98.2 peratus atau 507,783 adalah calon sekolah kementerian manakala baki calon sekolah swasta.

Na''imah berkata sebanyak 286,930 calon tahun ini memperoleh keputusan Baik iaitu minimum C tidak termasuk semua A, meningkat 1.49 peratus berbanding 269,021 calon tahun lalu.
 
Sebanyak 17,251 calon lagi berada di bawah tahap penguasaan minimum iaitu mendapat semua D atau E atau kombinasi kedua-duanya, meningkat 0.54 peratus berbanding 13,958 peratus tahun lalu.

Beliau berkata jumlah calon luar bandar yang mendapat semua A meningkat kepada 17,329 tahun ini, berbanding 16,244 calon tahun lalu manakala calon bandar pula menurun kepada 27,681 berbanding 29,462 tahun lalu.

Katanya, bagi pencapaian Baik pula, calon bandar dan luar bandar mencatat peningkatan dengan calon bandar meningkat kepada 149,911 berbanding 148,265 tahun lepas manakala calon bandar pula 136,590 berbanding 118,543 tahun lalu.

"Pada tahun ini peratusan calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum berjaya dikurangkan terutama di luar bandar dengan pengurangan sebanyak 0.86 peratus berbanding di bandar sebanyak 0.20 peratus.

"Penurunan peratusan ini menunjukkan bahawa peningkatan tahap penguasaan minimum calon luar bandar adalah lebih baik berbanding calon di bandar dengan beza sebanyak 0.66 peratus," katanya.

Na''imah berkata peratusan calon berkeperluan khas yang mendapat semua A meningkat kepada 25 orang tahun ini berbanding 17 orang tahun lalu, meliputi tiga orang calon buta, tujuh calon rabun dan 15 calon dengan lain-lain kecacatan.

Beliau berkata peratusan calon berkeperluan khas yang mendapat pencapaian Baik juga meningkat sebanyak 0.44 peratus daripada 218 orang tahun lalu kepada 295 orang pada tahun ini, manakala pencapaian keseluruhan juga meningkat sebanyak 0.01 mata GPN berbanding tahun lalu.

Bilangan calon berkeperluan khas yang menduduki UPSR tahun ini bertambah kepada 1,752 orang tahun ini berbanding 1,329 orang tahun lalu.

Dari segi mata pelajaran pula, Na''imah berkata berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), prestasi keseluruhan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu - Pemahaman di Sekolah Kebangsaan (SK) menunjukkan penurunan 0.07 mata, manakala calon yang mendapat Gred A dan Gred ABC juga menurun masing-masing 1.6 dan 2.6 peratus.

Beliau berkata bagi mata pelajaran Bahasa Melayu - Penulisan di SK pula meningkat sebanyak 0.03 mata GPMP berbanding tahun lalu, malah peratusan Gred A juga meningkat sebanyak 3.2 peratus namun peratusan Gred ABC menurun sebanyak 0.2 peratus.
 
Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu - Pemahaman dan Penulisan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), peratusan calon yang mendapat Gred A masing-masing menurun sebanyak 1.5 peratus dan 2.8 peratus, manakala berdasarkan GPMP Bahasa Melayu - Pemahaman mencatat penurunan sebanyak 0.04 mata manakala Bahasa Melayu - Penulisan meningkat 0.03 mata, katanya.

Na''imah berkata bagi Bahasa Inggeris di SK, prestasi keseluruhan meningkat 0.05 mata GPMP, dan peratusan calon mendapat Gred A dan Gred ABC masing-masing meningkat 0.8 peratus dan 2.6 peratus berbanding tahun lalu.

Beliau berkata prestasi mata pelajaran itu di SJK pula menurun sebanyak 0.07 mata GPMP dan peratusan calon yang mendapat Gred A dan ABC juga menurun masing-masing sebanyak 1.9 peratus dan 1.6 peratus.
Mata pelajaran Matematik meningkat 0.02 mata GPMP tahun ini, sementara calon yang mendapat Gred A dan ABC meningkat masing-masing 0.6 peratus, manakala Sains menurun 0.04 mata GPMP, sementara calon yang mendapat Gred A dan Gred ABC, masing-masing menurun 1.7 peratus dan 0.6 peratus, katanya.

Dr Nai''mah berkata prestasi keseluruhan mata pelajaran Bahasa Cina - Pemahaman menurun sebanyak 0.01 mata GPMP manakala Bahasa Cina - Penulisan meningkat 0.02 mata GPMP, dan bagi Bahasa Tamil - Pemahaman dan Penulisan menurun masing-masing 0.10 mata dan 0.04 mata GPMP.

Bagi Ujian Aptitud yang merupakan tahun keempat dilaksanakan bagi memberi gambaran dan kesediaan mental murid sebelum memasuki sekolah menengah, beliau berkata maklumat keputusan ujian itu tidak dinyatakan dalan slip keputusan UPSR, tetapi boleh diperoleh melalui sekolah.

Peperiksaan UPSR dijalankan serentak di seluruh negara pada 11, 12 dan 13 Sept lalu di 8,284 pusat peperiksaan.

Cikgu Sharul - Syukur Alhamdulillah, 15 orang murid sekolah cikgu dapat 5A... Tahniah kepada guru yang mengajar dan kepada semua pelajar yang cemerlang.. 

Wednesday, October 10, 2012

Modul Baru Lahirkan Guru Mahir

Kerajaan akan mengkaji modul baru bagi meningkatkan kemahiran pengajaran guru di sekolah melalui penggunaan teknologi maklumat (IT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata berbanding cara lazim menghantar guru menjalani kursus di institut latihan semasa cuti sekolah, kemahiran pengajaran guru juga boleh dipertingkatkan dengan merujuk kepada kandungan yang dipaparkan secara dalam talian (online).
 
Kenal pasti guru cemerlang

“Kita boleh mengenal pasti beberapa guru cemerlang bagi setiap subjek setiap tahun untuk membangunkan kandungan dan seterusnya dimuat naik secara atas talian manakala guru lain akan menjadi mentor dan fasilitator.

“Kita perlu mengkaji model baru ini namun, ini satu kemungkinan kerana saya dimaklumkan oleh Panel Penasihat bahawa ini adalah trend baru di Amerika Syarikat.

“Di sana (Amerika Syarikat), profesor terkemuka (top notch professor) mengajar secara dalam talian dan pelajar yang mengikutinya mampu menjangkau 150,000 orang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) MSC Malaysia Ke-15 di pejabatnya, di sini semalam. Turut hadir, timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata, Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran, turut bersetuju mengkaji modul itu dengan teliti dalam usaha memperluaskan penggunaan IT bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

Selain itu, Perdana Menteri berkata mesyuarat IAP turut memutuskan untuk menggerakkan usaha mengiktiraf golongan yang cemerlang dan boleh dijadikan ikon dalam industri masing-masing melalui penggunaan IT.
 
ICT wujud ikon

Sebagai contoh, seorang wanita di Semporna, Sabah berjaya mengaut pendapatan RM20,000 sebulan hasil perniagaan rumpai laut secara dalam talian berbanding hanya RM450 sebulan sebelum itu.

“Ini membuktikan teknologi komunikasi maklumat (ICT) adalah game changer.
Kita perlu mengiktiraf pencapaian mereka supaya golongan ini menjadi pemangkin dan ikon untuk mendorong orang lain terbabit dalam IT.

“Pendekatan ini bukan saja membabitkan usahawan tetapi profesional seperti guru supaya mereka boleh menjadi ikon kepada guru lain,” katanya.

Katanya, antara perkara lain yang turut dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk usaha meningkatkan perniagaan mikro kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS kepada perniagaan besar, komunikasi spektrum serta Lembah Silikon. 
-dipetik dari BH Online.
 
Cikgu Sharul -  Apa lagi kawan-kawan seperjuangan.. Ambillah peluang keemasan ini...
 

Wednesday, September 12, 2012

11 Anjakan Ubah Sistem Pendidikan

Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan utama bagi mengubah sistem pendidikan negara.  Perdana Menteri berkata, pelan pembangunan pendidikan itu akan memastikan setiap rakyat mendapat pendidikan terbaik bersandarkan keperluan semasa dan masa hadapan yang mencabar.

Melalui pelan itu katanya, kerajaan berharap rakyat terutama generasi muda mempunyai akses yang sama dalam bidang pendidikan berkualiti tanpa mengira status sosioekonomi, etnik, keupayaan fizikal atau latar belakang.

Berani, telus, demokratik
Sambil menyifatkan pelan berkenaan sebagai komprehensif, berani, telus dan demokratik, beliau mahu setiap sasaran pelan itu dapat memberi kesan kepada semua jenis sekolah sama ada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Agama, Sekolah Mubaligh, Sekolah Swasta dan Sekolah Antarabangsa yang berada dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, kewujudan semua jenis sekolah itu mencerminkan legasi, kepelbagaian dan komitmen rakyat Malaysia terhadap pendidikan dan kepentingannya dalam kehidupan setiap rakyat Malaysia.  “Kerajaan sentiasa menangani setiap isu pendidikan sebagai isu nasional yang melampaui politik dan sentimen kepartian. Ini bagi memastikan kita membuat keputusan semata-mata kepada kepentingan anak-anak dan bukannya bersifat populis.

“Matlamat kita agar setiap anak Malaysia tidak kira daripada mana dan kumpulan etnik mendapat manfaat sepenuhnya daripada dasar pendidikan yang dirancang ini,” katanya berucap melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini semalam.
 
Kuasai bahasa kebangsaan
Perdana Menteri menegaskan selepas negara mengecapi kemerdekaan selama 55 tahun, setiap rakyat mesti sekurang-kurang bertutur dalam Bahasa Kebangsaan dengan baik.

“Kita hendak tegaskan di semua jenis sekolah, mesti menguasai bahasa kebangsaan kita, bertutur dengan baik. Ini bukan soal politik, ini soal nasional,” katanya.

Malah, beliau turut menekankan kepentingan bersikap pragmatik dengan menguasai tiga bahasa supaya berdaya saing, dengan tidak mensia-siakan kelebihan wujudnya berbilang kaum, bahasa dan budaya di negara ini.

Dalam transformasi pendidikan kali ini, Najib turut mencadangkan pelaksanaan Sastera Inggeris bagi membantu penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris, di mana Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan modul itu yang diwajibkan kepada murid sekolah menengah.

“Saya fikir kalau nak belajar bahasa Inggeris, kita mesti mengajar Sastera Inggeris di sekolah tetapi secara berperingkat. Jika tidak boleh Shakespeare, mula dengan Enid Blyton kemudian versi Shakespeare yang dipermudahkan dan akhirnya versi penuh. Sastera Inggeris amat penting,” katanya.


Berani berubah
Najib berkata, Kementerian Pelajaran mengambil sikap yang bertanggungjawab dengan mengakui kelemahan yang ada dan pada masa sama berani melaksanakan perubahan dan anjakan bagi merencana hala tuju lebih baik dalam pendidikan.

Pelan awal itu juga akan menjemput cadangan balas, kritikan komen dan sokongan bersesuaian dengan hakikat bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.

“Rupa bentuk negara masa depan akan ditentukan oleh keputusan, langkah dan tindakan yang kita ambil hari ini. Kita tidak mampu menangguhkan atau berdikit demi masa depan lebih baik dan untuk mengaut laba masa hadapan kita perlu berani melabur serta menyemai secara bijak,” katanya.

Sekilas... 
- Pelajar pintar selesaikan UPSR dalam lima tahun dan SPM empat tahun.
- Peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan beri fokus kemahiran berfikir aras tinggi. Contoh, 80 peratus 
   soalan UPSR berbentuk pemikiran aras tinggi.
- Sastera Inggeris diwajibkan di sekolah menengah. − Penjenamaan semula Tingkatan Enam - kelonggaran
   pemakaian pakaian seragam, Majlis Pelajar ditubuh.
- Bahasa Malaysia standard di SK atau SJK mulai Tahun Empat pada 2014. Kelas peralihan mansuh 2017.
- Insentif bagi guru besar/pengetua di luar bandar dan sekolah berprestasi rendah, antaranya elaun, laluan
   pantas kenaikan pangkat.
- Guru cemerlang boleh dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 lebih cepat berbanding purata
   ketika ini 25 tahun.
- Guru yang mencatat prestasi rendah selepas bimbingan, akan diberi tugas lain seperti pentadbiran, pegawai
   tatatertib atau pengurusan kokurikulum.
 
-Dipetik daripada Berita Harian..
 
Cikgu Sharul - Perubahan adalah perlu, maksudnya kita sentiasa belajar perkara baru...

Sistem Baru Jimat Masa Pembelajaran

Murid sekolah rendah, menengah tamat pengajian awal setahun

Pembelajaran pintas yang membenarkan murid pencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dan rendah setahun lebih awal adalah antara cadangan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).  Murid akan menamatkan pengajian sekolah menengah dalam tempoh empat tahun berbanding lima sekarang, manakala peringkat sekolah rendah hanya setakat lima tahun.  Program kurikulum pintas membolehkan murid menamatkan sekolah menengah dan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh empat tahun serta terbabit dalam aktiviti berbentuk memperkaya seperti projek kajian individu.  Murid akan dipilih selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan diuji setiap tahun bagi memastikan program itu berfaedah kepada serta tidak menjejaskan perkembangan diri.


Saring pelajar 
Program laluan pintas pula memberi peluang kepada murid menduduki Tahun Satu dan Tahun Dua pada tahun yang sama. Bagaimanapun, satu saringan akan dilakukan pada peringkat awal Tahun Satu untuk mengenal pasti tahap kepintaran dan kecergasan murid menggunakan ujian standard yang dibangunkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).  Dalam pada itu, dianggarkan 10 hingga 15 peratus murid bakal berjaya melepasi standard ditetapkan bagi kemasukan setiap tahun dan selepas menjalani program, murid dinaikkan ke Tahun Tiga pada tahun berikutnya.

Selain itu, kementerian akan mewujudkan program untuk murid pintar cerdas dan berbakat dalam aspek tertentu seperti matematik, bahasa, muzik dan pendidikan seni.

Program perintis
Ia antara tiga program perintis yang akan dilaksanakan, iaitu dua untuk murid pencapaian tinggi yang berdasarkan kajian dianggarkan hampir 15 peratus daripada populasi murid dan program bagi murid pintar cerdas.  Ketiga-tiga program perintis itu akan diperkenalkan dalam Gelombang Kedua (2016-2020) transformasi PPPM.

Gelombang Pertama
Kementerian akan melaksanakan Gelombang Pertama (2013-2015) dengan dalam tempoh tiga tahun berikut, tanda aras program ditetapkan dengan program pendidikan pintar cerdas terbaik.

Pada fasa terakhir pelan iaitu Gelombang Ketiga (2021-2025), kementerian akan memurnikan rangka kerja ketiga-tiga program rintis pintar cerdas dan berbakat, serta memperluaskannya pada peringkat kebangsaan.
- dipetik daripada Berita Harian
 
Cikgu Sharul -  Berubah ke arah yang lebih baik...