Sunday, November 7, 2010

Kementerian Pelajaran ada pelan alternatif SPM dan STPM jika banjir berterusan

Kementerian Pelajaran sudah mempunyai pelan alternatif untuk memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak terjejas jika banjir buruk yang melanda kawasan Utara Semenanjung berterusan.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kementerian itu akan melihat keadaan terlebih dulu kerana masih ada kira-kira dua minggu lagi peperiksaan itu akan bermula.
"Kita sudah ada pelan alternatif jika banjir berterusan...kita lihat dulu bagaimana kerana masih ada dua minggu lagi peperiksaan itu diadakan," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kementerian itu akan mengubahsuai semula jadual dua peperiksaan penting itu yang dijangka bermula 22 November ini berikutan banjir besar yang berlaku di Kedah dan Perlis serta cuaca yang tidak menentu kini.

Masalah banjir besar itu bukan saja menyebabkan pelajar menghadapi kesukaran untuk menduduki peperiksaan apabila ada jalan terpaksa ditutup akibat dinaiki air, malah banyak sekolah ditutup dan digunakan sebagai pusat penempatan sementara bangsa banjir.

Muhyiddin, bagaimanapun, enggan mengumumkan pelan alternatif berkenaan kerana ia akan dibuat mengikut keadaan selepas ini.

Akhbar Khamis lalu melaporkan Kementerian Pelajaran sudah mengambil langkah persediaan memastikan peperiksaan SPM dan STPM yang dijadualkan bermula 22 November ini tidak terjejas, jika banjir yang melanda beberapa negeri di Utara Semenanjung menjadi semakin buruk.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dilaporkan berkata, jika keadaan itu berlaku, calon peperiksaan itu akan ditempatkan di sekolah berdekatan.

Thursday, November 4, 2010

Alimudin Usaha Tambah Dana Yayasan Guru Malaysia Berhad

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang akan bersara mulai esok berkata beliau akan menumpukan usaha untuk menambah dana Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sebagai pengerusi YGMB sejak 2008.

Beliau berkata walaupun yayasan itu telah wujud sejak kira-kira 20 tahun dulu, tetapi dana yang diperuntukkan semakin berkurangan dan tidak dapat memberikan sumbangan yang banyak kepada guru-guru berdaftar.

"Saya sebenarnya tidak mempunyai perancangan yang rapi, biarlah saya berehat dulu sebulan dua. Tapi saya akan pastikan sekurang-kurangnya guru-guru akan mendapat habuan mereka termasuk untuk menambah peruntukan bagi khairat kematian atau kemalangan," katanya pada majlis perpisahan beliau di sini, Khamis.

Beliau yang telah berkhidmat selama 34 tahun dalam bidang pendidikan akan bersara wajib mulai esok pada usia 58 tahun.

Alimuddin juga mengucapkan berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran atas peruntukan RM10 juta yang diumumkan pada Perhimpunan Agung Umno lalu, dan beliau akan memastikan peruntukan itu dapat digunakan sepenuhnya untuk mereka yang berkenaan.

Beliau berkata sokongan semua pihak turut diminta dengan mendaftarkan warga-warga pendidik di seluruh negara dengan yayasan itu.

Selain itu, katanya beliau akan terus menyumbangkan tenaga untuk dunia pendidikan, melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO) selepas persaraan ini.

"Selama 34 tahun ini saya dapat banyak daripada kerajaan dan Kementerian Pelajaran, sampai masanya sekarang saya memberi pula. Sekurang-kurangnya sekiranya tenaga saya diperlukan saya sedia memberi sumbangan," katanya.

Alimuddin yang sempat menyaksikan beberapa perubahan dasar pendidikan termasuk Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) berkata perubahan dalam sistem pendidikan adalah penting seiring dengan perubahan dunia.

"Dalam era globalisasi semua perlu berubah, dan sekiranya kita masih kekal akhirnya kita akan ditinggalkan," katanya.

Beliau bersyukur kerana sempat memegang jawatan tertinggi itu lebih tiga tahun dan berharap sokongan dan kerjasama yang baik yang diberikan kepada beliau sebelum ini dapat diteruskan kepada pengganti agar segala perancangan dalam mentransformasi sistem pendidikan dapat dilaksanakan.

Semua pegawai kementerian turut diminta menjaga kesihatan dalam memastikan usaha itu tercapai, katanya.

Cikgu Sharul: Terima Kasih, Tan Sri...Jasamu akan dikenang selamanya..

Wednesday, November 3, 2010

Pelajar Sekolah Akan Diberikan Bantuan Pakaian Sukan

Pelajar sekolah akan diberikan bantuan pakaian sukan selaras dengan dasar “satu murid satu sukan” yang akan bermula tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, bantuan itu merupakan hasil keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membantu pelajar sekolah di negara ini.

"Ini satu daripada sikap pemurah Perdana Menteri kerana dalam beberapa siri (mesyuarat) Kabinet yang lepas, beliau ada bertanya kepada saya kerana kita ada tabung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mana sumbangan ini dibuat dalam bentuk amal jadi Perdana Menteri bertanya apa lagi yang boleh dibuat bagi membantu murid-murid sekolah.

"Dalam perbincangan kita di peringkat Kementerian Pelajaran kita cadangkan supaya setiap pelajar yang layak diberikan pakaian sukan iaitu baju-T dan seluar panjang untuk membolehkan mereka bergiat dalam sukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Sungai Terah di sini, hari ini.

Katanya, bantuan pakaian itu akan dimulakan pada tahun depan di peringkat sekolah rendah terlebih dahulu.

Cikgu Sharul: MAJULAH SUKAN UNTUK SEKOLAH, MASYARAKAT & NEGARA...

Kementerian Pelajaran Bersedia Hadapi Kemungkinan Banjir Semasa SPM

Kementerian Pelajaran bersedia menghadapi seebarang kemungkinan termasuklah jika kejadian banjir berlarutan sehingga musim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula 23 November ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata kementerian telahpun mengenal pasti kawasan yang berisiko dilanda banjir, dan sekiranya ia berlaku calon-calon peperiksaan berkenaan akan dipindahkan ke sekolah berhampiran.

Asrama juga akan disediakan dengan kemudahan makanan untuk mengelakkan kesukaran yang mungkin dihadapi oleh calon untuk ke pusat peperiksaan, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Kejohanan World Robot Olympiad (WRO) 2010 di sini Rabu.

Alimuddin justeru berkata, calon-calon SPM tidak perlu bimbang mengenai perkara itu dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai perkara tersebut yang akan disebarkan melalui sekolah dan media massa.

"Sebagaimana kita tahu peperiksaan ini tidak boleh diubah masanya, jadi pelajar-pelajar ini akan diberi kemudahan untuk memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan ini," katanya.

Sehingga hari ini, jumlah penduduk yang dipindahkan akibat banjir meningkat kepada lebih 27,000 orang dengan Kedah mencatat jumlah tertinggi iaitu 20,902 orang.

Jumlah sekolah rendah dan menengah yang ditutup akibat bencana itu pula meningkat kepada 60 buah, dengan 26 daripadanya di Perlis, 21 di Kedah dan baki 13 di Kelantan.

Sementara itu Alimuddin berkata kementerian telah mengarahkan agar semua pengetua dan guru besar di seluruh negara agar mengutamakan keselamatan pelajar dalam isu tersebut.

Beliau berkata sekiranya paras air di sesebuah kawasan itu boleh menimbulkan bahaya kepada pelajar, mereka perlu menutup sekolah dan memaklumkan Pegawai Pelajaran Daerah mengenainya.

"Kita tak boleh kompromi dari segi keselamatan pelajar. Guru-guru juga walaupun sekolah ditutup, mereka masih perlu melaporkan diri di Pejabat Pelajaran Daerah yang berdekatan atau sekolah-sekolah berdekatan supaya mudah untuk dihubungi," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan siasatan dakwaan seorang guru di sebuah sekolah di Pasir Mas, Kelantan yang menggunakan seterika untuk mengejutkan pelajar solat Subuh, Alimuddin berkata beliau telah menerima laporan awal mengenainya daripada Jabatan Pelajaran Negeri, namun ia hanya memaklumkan mengenai situasi kejadian.

Beliau telah mengarahkan agar laporan lengkap disediakan berhubung isu tersebut, termasuk siasatan rapi dan cadangan hukuman yang wajar diambil oleh pihak kementerian.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan laporan polis telah dibuat mengenainya, oleh kedua-dua pihak pelajar dan guru terbabit.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran sebelum ini, mengarahkan Pengarah Pelajaran Kelantan menyiasat dengan terperinci dakwaan kes dera membabitkan dua pelajar yang mendakwa diseterika oleh seorang warden, yang juga guru sekolah, sebagai cara untuk mengejutkan pelajar menunaikan solat Subuh di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Bunut Susu di Pasir Mas, Kelantan 12 Oktober lalu.

Cikgu Sharul: Kepada rakan-rakan guru & murid-murid di utara sana, banyak-banyakkan bersabar..

Tuesday, November 2, 2010

Koperasi Sekolah; Ke arah Lahirkan Komuniti Usahawan Muda

PENTADBIRAN sekolah rendah disaran menubuhkan koperasi dalam mewujudkan satu komuniti koperasi dan usahawan di peringkat muda selaras sasaran menyumbangkan 10 peratus perolehan daripada bidang itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2020.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata ketika ini koperasi menyumbangkan satu peratus atau RM6.5 juta kepada KDNK dan jika ia mencecah 10 peratus, sumbangan akan meningkat kepada RM65 juta.
Sehubungan itu, katanya, pihak sekolah rendah boleh membantu menjayakan matlamat itu dengan mewujudkan koperasi bagi memupuk semangat berniaga di kalangan murid.

"Ada sesetengah murid meminati bidang keusahawanan kerana datang daripada keluarga yang mempunyai latar belakang perniagaan tetapi ada juga yang menceburi bidang berkenaan seawal peringkat sekolah rendah.

"Justeru, saya cadangkan pertandingan di peringkat sekolah menengah sempena Hari Koperasi ini turut diadakan di peringkat sekolah rendah, dengan syarat berbeza," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Hari Koperasi Sekolah Terbaik 2010 dan Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah peringkat Kebangsaan di sini, semalam.

Rohani berkata, kementeriannya juga menggalakkan koperasi yang berjaya menghasilkan produk baru yang belum pernah dipasarkan, mempatenkan produk bagi membolehkan mereka mendapat hasil selepas produk memasuki pasaran.
Dengan cara ini, katanya, bukan saja pereka cipta produk mendapat hasilnya, koperasi sekolah juga akan memperoleh pendapatan sebaik produk yang dihasilkan berjaya dipatenkan.

Ditanya mengenai proses yang lama untuk membolehkan sesuatu produk dipatenkan, Rohani berkata, kerajaan kini dalam proses meminda akta berkaitan bagi mempercepatkan proses berbuat demikian.

Beliau berkata, prosesnya mudah tetapi ada perkara tertentu perlu dilakukan bagi menentukan sama ada produk yang hendak dipatenkan barangan tulen atau ciplak.

Katanya, pemeriksaan sama ada produk itu pernah dihasilkan sebelum ini atau tidak mengambil masa lama kerana ketulenan produk bukan saja boleh dicabar di negara ini, malah ia juga boleh dicabar di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, ketika ini, proses mendapatkan paten bagi sesuatu produk baru mengambil masa tiga tahun dan ia mungkin dapat dikurangkan kepada setahun saja sebaik akta itu dipinda.

Cikgu Sharul: Ke arah melahirkan usahawan sekolah yang berjaya..