Tuesday, November 2, 2010

Koperasi Sekolah; Ke arah Lahirkan Komuniti Usahawan Muda

PENTADBIRAN sekolah rendah disaran menubuhkan koperasi dalam mewujudkan satu komuniti koperasi dan usahawan di peringkat muda selaras sasaran menyumbangkan 10 peratus perolehan daripada bidang itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2020.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata ketika ini koperasi menyumbangkan satu peratus atau RM6.5 juta kepada KDNK dan jika ia mencecah 10 peratus, sumbangan akan meningkat kepada RM65 juta.
Sehubungan itu, katanya, pihak sekolah rendah boleh membantu menjayakan matlamat itu dengan mewujudkan koperasi bagi memupuk semangat berniaga di kalangan murid.

"Ada sesetengah murid meminati bidang keusahawanan kerana datang daripada keluarga yang mempunyai latar belakang perniagaan tetapi ada juga yang menceburi bidang berkenaan seawal peringkat sekolah rendah.

"Justeru, saya cadangkan pertandingan di peringkat sekolah menengah sempena Hari Koperasi ini turut diadakan di peringkat sekolah rendah, dengan syarat berbeza," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Hari Koperasi Sekolah Terbaik 2010 dan Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah peringkat Kebangsaan di sini, semalam.

Rohani berkata, kementeriannya juga menggalakkan koperasi yang berjaya menghasilkan produk baru yang belum pernah dipasarkan, mempatenkan produk bagi membolehkan mereka mendapat hasil selepas produk memasuki pasaran.
Dengan cara ini, katanya, bukan saja pereka cipta produk mendapat hasilnya, koperasi sekolah juga akan memperoleh pendapatan sebaik produk yang dihasilkan berjaya dipatenkan.

Ditanya mengenai proses yang lama untuk membolehkan sesuatu produk dipatenkan, Rohani berkata, kerajaan kini dalam proses meminda akta berkaitan bagi mempercepatkan proses berbuat demikian.

Beliau berkata, prosesnya mudah tetapi ada perkara tertentu perlu dilakukan bagi menentukan sama ada produk yang hendak dipatenkan barangan tulen atau ciplak.

Katanya, pemeriksaan sama ada produk itu pernah dihasilkan sebelum ini atau tidak mengambil masa lama kerana ketulenan produk bukan saja boleh dicabar di negara ini, malah ia juga boleh dicabar di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, ketika ini, proses mendapatkan paten bagi sesuatu produk baru mengambil masa tiga tahun dan ia mungkin dapat dikurangkan kepada setahun saja sebaik akta itu dipinda.

Cikgu Sharul: Ke arah melahirkan usahawan sekolah yang berjaya..

No comments:

Post a Comment