Tuesday, October 25, 2011

Guru Matematik di Perak terima Anugerah Perdana Menteri

Pendekatan kreatif dan interaktif untuk mengajar Matematik yang dikongsi dalam laman blog peribadi membawa tuah kepada Muhammad Hafiz Ismail, 25 apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri (Terbaik Di Kalangan Terbaik) pada majlis penyampaian `MSC Malaysia Asia-Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards’ di sini, sebentar tadi.

Guru dari Perak itu yang berjaya menewaskan kira-kira 250 pencalonan lain, memaparkan kisah hidup hariannya mengajar Matematik di Sekolah Kebangsaan Kampung Kenang, Sungai Siput (U) di mana rata-rata pelajar adalah Orang Asli suku kaum Temiar, menerusi laman blognya `Life through My Eyes’ (www.apistakkesah.blogspot.com.

“Saya tidak menyangka hasil luahan perasaan dan pendekatan saya mengajar murid dengan menggunakan kaedah interaktif mendapat perhatian masyarakat di luar sana. Malah, ia turut menarik minat pembaca blog saya dari Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Jerman.
“Pelbagai kaedah menarik diguna bagi memastikan murid memahami mata pelajaran yang diajar dan saya kongsikannya dalam laman blog yang dikemas kini setiap minggu,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC), Tan Sri Abdul Halim Ali.

Muhammad Hafiz berkata, kini semua kaedah pengajaran yang dikongsikannya dalam blog peribadi itu diterbitkan dalam sebuah buku bertajuk `Life Through My Eyes: A Teachers’s Little Steps Towards Perfection’, untuk dimanfaatkan orang ramai.- dipetik daripada Berita Harian.

Cikgu Sharul - Tahniah untuk Cikgu Muhammad Hafiz.. Cikgu Sharul bangga jadi pendidik..

Friday, October 7, 2011

Saraan Baru Beri Guru Kenaikan Gaji Terbesar

Golongan guru yang meliputi kira-kira sepertiga daripada 1.2 juta penjawat awam mendapat kenaikan gaji terbesar menerusi Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012.

Guru bukan siswazah menerima kenaikan sehingga 39 peratus, manakala guru siswazah menerima kenaikan 37.7 peratus. Sebagai contoh, gaji maksimum guru bukan siswazah gred DGA34 dinaikkan daripada RM3,860 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada RM5,370 mengikut SBPA. Bagi guru siswazah pula, gaji maksimum gred DG48, di bawah SSM ialah RM6,325 menjadi RM8,710 mengikut SBPA.

Perdana Menteri juga mengumumkan bantuan persekolahan one-off RM500 untuk isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 bagi menangani kos sara hidup.

Bajet 2012 juga memberi durian runtuh kepada 5.3 juta pelajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima yang layak mendapat bantuan RM100 untuk setiap pelajar.

Sebanyak RM530 juta diperuntukkan untuk bantuan itu yang akan dilaksanakan menerusi Bank Simpanan Nasional.

Kerajaan juga memperkenal Dana Pengkomersialan Inovasi RM500 juta untuk membolehkan institusi pengajian tinggi dan perusahaan kecil dan sederhana mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan.

Seramai 20,000 guru diploma diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dengan yuran dibiayai Kementerian Pelajaran. Bajet berkenaan menyediakan dana RM80 juta bagi bantuan yuran pengajian itu.

Sementara itu, Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menganggap penurunan tempoh kenaikan gred guru siswazah daripada DG44 kepada DG48 daripada 20 tahun ke 16 tahun sebagai penghargaan besar kepada pendidik di seluruh negara dan tanda kerajaan mendengar rintihan rakyat.

Presidennya, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata pengurangan tempoh itu bermakna guru siswazah yang cemerlang berpeluang untuk mencapai gred DG52 dan DG54 sebelum usia persaraan yang kini dinaikkan kepada 60 tahun.

KGMMB sangat berpuas hati dengan pengumuman dalam Bajet 2012 kerana turut membabitkan penurunan tempoh kenaikan gred mengikut time-based yang membuka peluang kenaikan gaji bagi guru yang enggan menerima kenaikan pangkat kerana sukar berpindah rumah atau komitmen lain.

Guru yang tidak dilantik sebagai pengetua atau pegawai pelajaran daerah kekal di sekolah sebagai pendidik tetapi masih menerima kenaikan gred, katanya ketika dihubungi di sini, semalam. - Dipetik daripada Berita Harian

Cikgu Sharul - Syukur Alhamdulillah, bonus dapat, kenaikan pun dapat...Terima kasih PM..