Monday, November 19, 2012

UPSR 2012: 45,054 calon dapat semua A

Sebanyak 45,054 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mencatat A dalam semua mata pelajaran, menurun 0.54 peratus berbanding 46,012 calon pada tahun lalu.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Dr Na''imah Ishak berkata pencapaian keseluruhan juga menurun sebanyak 0.01 mata Gred Purata Nasional (GPN) iaitu daripada 2.30 tahun lalu kepada 2.31 tahun ini.

"Sebab penurunan ini masih belum diketahui dan jabatan pelajaran negeri dan sekolah-sekolah akan membuat kajian mengenainya selepas ini," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR, di sini hari ini.

Sebanyak 517,139 calon menduduki UPSR tahun ini, iaitu meningkat 3.9 peratus berbanding 497,691 tahun lalu, dan daripada jumlah itu 98.2 peratus atau 507,783 adalah calon sekolah kementerian manakala baki calon sekolah swasta.

Na''imah berkata sebanyak 286,930 calon tahun ini memperoleh keputusan Baik iaitu minimum C tidak termasuk semua A, meningkat 1.49 peratus berbanding 269,021 calon tahun lalu.
 
Sebanyak 17,251 calon lagi berada di bawah tahap penguasaan minimum iaitu mendapat semua D atau E atau kombinasi kedua-duanya, meningkat 0.54 peratus berbanding 13,958 peratus tahun lalu.

Beliau berkata jumlah calon luar bandar yang mendapat semua A meningkat kepada 17,329 tahun ini, berbanding 16,244 calon tahun lalu manakala calon bandar pula menurun kepada 27,681 berbanding 29,462 tahun lalu.

Katanya, bagi pencapaian Baik pula, calon bandar dan luar bandar mencatat peningkatan dengan calon bandar meningkat kepada 149,911 berbanding 148,265 tahun lepas manakala calon bandar pula 136,590 berbanding 118,543 tahun lalu.

"Pada tahun ini peratusan calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum berjaya dikurangkan terutama di luar bandar dengan pengurangan sebanyak 0.86 peratus berbanding di bandar sebanyak 0.20 peratus.

"Penurunan peratusan ini menunjukkan bahawa peningkatan tahap penguasaan minimum calon luar bandar adalah lebih baik berbanding calon di bandar dengan beza sebanyak 0.66 peratus," katanya.

Na''imah berkata peratusan calon berkeperluan khas yang mendapat semua A meningkat kepada 25 orang tahun ini berbanding 17 orang tahun lalu, meliputi tiga orang calon buta, tujuh calon rabun dan 15 calon dengan lain-lain kecacatan.

Beliau berkata peratusan calon berkeperluan khas yang mendapat pencapaian Baik juga meningkat sebanyak 0.44 peratus daripada 218 orang tahun lalu kepada 295 orang pada tahun ini, manakala pencapaian keseluruhan juga meningkat sebanyak 0.01 mata GPN berbanding tahun lalu.

Bilangan calon berkeperluan khas yang menduduki UPSR tahun ini bertambah kepada 1,752 orang tahun ini berbanding 1,329 orang tahun lalu.

Dari segi mata pelajaran pula, Na''imah berkata berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), prestasi keseluruhan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu - Pemahaman di Sekolah Kebangsaan (SK) menunjukkan penurunan 0.07 mata, manakala calon yang mendapat Gred A dan Gred ABC juga menurun masing-masing 1.6 dan 2.6 peratus.

Beliau berkata bagi mata pelajaran Bahasa Melayu - Penulisan di SK pula meningkat sebanyak 0.03 mata GPMP berbanding tahun lalu, malah peratusan Gred A juga meningkat sebanyak 3.2 peratus namun peratusan Gred ABC menurun sebanyak 0.2 peratus.
 
Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu - Pemahaman dan Penulisan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), peratusan calon yang mendapat Gred A masing-masing menurun sebanyak 1.5 peratus dan 2.8 peratus, manakala berdasarkan GPMP Bahasa Melayu - Pemahaman mencatat penurunan sebanyak 0.04 mata manakala Bahasa Melayu - Penulisan meningkat 0.03 mata, katanya.

Na''imah berkata bagi Bahasa Inggeris di SK, prestasi keseluruhan meningkat 0.05 mata GPMP, dan peratusan calon mendapat Gred A dan Gred ABC masing-masing meningkat 0.8 peratus dan 2.6 peratus berbanding tahun lalu.

Beliau berkata prestasi mata pelajaran itu di SJK pula menurun sebanyak 0.07 mata GPMP dan peratusan calon yang mendapat Gred A dan ABC juga menurun masing-masing sebanyak 1.9 peratus dan 1.6 peratus.
Mata pelajaran Matematik meningkat 0.02 mata GPMP tahun ini, sementara calon yang mendapat Gred A dan ABC meningkat masing-masing 0.6 peratus, manakala Sains menurun 0.04 mata GPMP, sementara calon yang mendapat Gred A dan Gred ABC, masing-masing menurun 1.7 peratus dan 0.6 peratus, katanya.

Dr Nai''mah berkata prestasi keseluruhan mata pelajaran Bahasa Cina - Pemahaman menurun sebanyak 0.01 mata GPMP manakala Bahasa Cina - Penulisan meningkat 0.02 mata GPMP, dan bagi Bahasa Tamil - Pemahaman dan Penulisan menurun masing-masing 0.10 mata dan 0.04 mata GPMP.

Bagi Ujian Aptitud yang merupakan tahun keempat dilaksanakan bagi memberi gambaran dan kesediaan mental murid sebelum memasuki sekolah menengah, beliau berkata maklumat keputusan ujian itu tidak dinyatakan dalan slip keputusan UPSR, tetapi boleh diperoleh melalui sekolah.

Peperiksaan UPSR dijalankan serentak di seluruh negara pada 11, 12 dan 13 Sept lalu di 8,284 pusat peperiksaan.

Cikgu Sharul - Syukur Alhamdulillah, 15 orang murid sekolah cikgu dapat 5A... Tahniah kepada guru yang mengajar dan kepada semua pelajar yang cemerlang.. 

Wednesday, October 10, 2012

Modul Baru Lahirkan Guru Mahir

Kerajaan akan mengkaji modul baru bagi meningkatkan kemahiran pengajaran guru di sekolah melalui penggunaan teknologi maklumat (IT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata berbanding cara lazim menghantar guru menjalani kursus di institut latihan semasa cuti sekolah, kemahiran pengajaran guru juga boleh dipertingkatkan dengan merujuk kepada kandungan yang dipaparkan secara dalam talian (online).
 
Kenal pasti guru cemerlang

“Kita boleh mengenal pasti beberapa guru cemerlang bagi setiap subjek setiap tahun untuk membangunkan kandungan dan seterusnya dimuat naik secara atas talian manakala guru lain akan menjadi mentor dan fasilitator.

“Kita perlu mengkaji model baru ini namun, ini satu kemungkinan kerana saya dimaklumkan oleh Panel Penasihat bahawa ini adalah trend baru di Amerika Syarikat.

“Di sana (Amerika Syarikat), profesor terkemuka (top notch professor) mengajar secara dalam talian dan pelajar yang mengikutinya mampu menjangkau 150,000 orang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) MSC Malaysia Ke-15 di pejabatnya, di sini semalam. Turut hadir, timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata, Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran, turut bersetuju mengkaji modul itu dengan teliti dalam usaha memperluaskan penggunaan IT bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

Selain itu, Perdana Menteri berkata mesyuarat IAP turut memutuskan untuk menggerakkan usaha mengiktiraf golongan yang cemerlang dan boleh dijadikan ikon dalam industri masing-masing melalui penggunaan IT.
 
ICT wujud ikon

Sebagai contoh, seorang wanita di Semporna, Sabah berjaya mengaut pendapatan RM20,000 sebulan hasil perniagaan rumpai laut secara dalam talian berbanding hanya RM450 sebulan sebelum itu.

“Ini membuktikan teknologi komunikasi maklumat (ICT) adalah game changer.
Kita perlu mengiktiraf pencapaian mereka supaya golongan ini menjadi pemangkin dan ikon untuk mendorong orang lain terbabit dalam IT.

“Pendekatan ini bukan saja membabitkan usahawan tetapi profesional seperti guru supaya mereka boleh menjadi ikon kepada guru lain,” katanya.

Katanya, antara perkara lain yang turut dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk usaha meningkatkan perniagaan mikro kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS kepada perniagaan besar, komunikasi spektrum serta Lembah Silikon. 
-dipetik dari BH Online.
 
Cikgu Sharul -  Apa lagi kawan-kawan seperjuangan.. Ambillah peluang keemasan ini...
 

Wednesday, September 12, 2012

11 Anjakan Ubah Sistem Pendidikan

Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan utama bagi mengubah sistem pendidikan negara.  Perdana Menteri berkata, pelan pembangunan pendidikan itu akan memastikan setiap rakyat mendapat pendidikan terbaik bersandarkan keperluan semasa dan masa hadapan yang mencabar.

Melalui pelan itu katanya, kerajaan berharap rakyat terutama generasi muda mempunyai akses yang sama dalam bidang pendidikan berkualiti tanpa mengira status sosioekonomi, etnik, keupayaan fizikal atau latar belakang.

Berani, telus, demokratik
Sambil menyifatkan pelan berkenaan sebagai komprehensif, berani, telus dan demokratik, beliau mahu setiap sasaran pelan itu dapat memberi kesan kepada semua jenis sekolah sama ada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Agama, Sekolah Mubaligh, Sekolah Swasta dan Sekolah Antarabangsa yang berada dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, kewujudan semua jenis sekolah itu mencerminkan legasi, kepelbagaian dan komitmen rakyat Malaysia terhadap pendidikan dan kepentingannya dalam kehidupan setiap rakyat Malaysia.  “Kerajaan sentiasa menangani setiap isu pendidikan sebagai isu nasional yang melampaui politik dan sentimen kepartian. Ini bagi memastikan kita membuat keputusan semata-mata kepada kepentingan anak-anak dan bukannya bersifat populis.

“Matlamat kita agar setiap anak Malaysia tidak kira daripada mana dan kumpulan etnik mendapat manfaat sepenuhnya daripada dasar pendidikan yang dirancang ini,” katanya berucap melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini semalam.
 
Kuasai bahasa kebangsaan
Perdana Menteri menegaskan selepas negara mengecapi kemerdekaan selama 55 tahun, setiap rakyat mesti sekurang-kurang bertutur dalam Bahasa Kebangsaan dengan baik.

“Kita hendak tegaskan di semua jenis sekolah, mesti menguasai bahasa kebangsaan kita, bertutur dengan baik. Ini bukan soal politik, ini soal nasional,” katanya.

Malah, beliau turut menekankan kepentingan bersikap pragmatik dengan menguasai tiga bahasa supaya berdaya saing, dengan tidak mensia-siakan kelebihan wujudnya berbilang kaum, bahasa dan budaya di negara ini.

Dalam transformasi pendidikan kali ini, Najib turut mencadangkan pelaksanaan Sastera Inggeris bagi membantu penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris, di mana Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan modul itu yang diwajibkan kepada murid sekolah menengah.

“Saya fikir kalau nak belajar bahasa Inggeris, kita mesti mengajar Sastera Inggeris di sekolah tetapi secara berperingkat. Jika tidak boleh Shakespeare, mula dengan Enid Blyton kemudian versi Shakespeare yang dipermudahkan dan akhirnya versi penuh. Sastera Inggeris amat penting,” katanya.


Berani berubah
Najib berkata, Kementerian Pelajaran mengambil sikap yang bertanggungjawab dengan mengakui kelemahan yang ada dan pada masa sama berani melaksanakan perubahan dan anjakan bagi merencana hala tuju lebih baik dalam pendidikan.

Pelan awal itu juga akan menjemput cadangan balas, kritikan komen dan sokongan bersesuaian dengan hakikat bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.

“Rupa bentuk negara masa depan akan ditentukan oleh keputusan, langkah dan tindakan yang kita ambil hari ini. Kita tidak mampu menangguhkan atau berdikit demi masa depan lebih baik dan untuk mengaut laba masa hadapan kita perlu berani melabur serta menyemai secara bijak,” katanya.

Sekilas... 
- Pelajar pintar selesaikan UPSR dalam lima tahun dan SPM empat tahun.
- Peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan beri fokus kemahiran berfikir aras tinggi. Contoh, 80 peratus 
   soalan UPSR berbentuk pemikiran aras tinggi.
- Sastera Inggeris diwajibkan di sekolah menengah. − Penjenamaan semula Tingkatan Enam - kelonggaran
   pemakaian pakaian seragam, Majlis Pelajar ditubuh.
- Bahasa Malaysia standard di SK atau SJK mulai Tahun Empat pada 2014. Kelas peralihan mansuh 2017.
- Insentif bagi guru besar/pengetua di luar bandar dan sekolah berprestasi rendah, antaranya elaun, laluan
   pantas kenaikan pangkat.
- Guru cemerlang boleh dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 lebih cepat berbanding purata
   ketika ini 25 tahun.
- Guru yang mencatat prestasi rendah selepas bimbingan, akan diberi tugas lain seperti pentadbiran, pegawai
   tatatertib atau pengurusan kokurikulum.
 
-Dipetik daripada Berita Harian..
 
Cikgu Sharul - Perubahan adalah perlu, maksudnya kita sentiasa belajar perkara baru...

Sistem Baru Jimat Masa Pembelajaran

Murid sekolah rendah, menengah tamat pengajian awal setahun

Pembelajaran pintas yang membenarkan murid pencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dan rendah setahun lebih awal adalah antara cadangan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).  Murid akan menamatkan pengajian sekolah menengah dalam tempoh empat tahun berbanding lima sekarang, manakala peringkat sekolah rendah hanya setakat lima tahun.  Program kurikulum pintas membolehkan murid menamatkan sekolah menengah dan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh empat tahun serta terbabit dalam aktiviti berbentuk memperkaya seperti projek kajian individu.  Murid akan dipilih selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan diuji setiap tahun bagi memastikan program itu berfaedah kepada serta tidak menjejaskan perkembangan diri.


Saring pelajar 
Program laluan pintas pula memberi peluang kepada murid menduduki Tahun Satu dan Tahun Dua pada tahun yang sama. Bagaimanapun, satu saringan akan dilakukan pada peringkat awal Tahun Satu untuk mengenal pasti tahap kepintaran dan kecergasan murid menggunakan ujian standard yang dibangunkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).  Dalam pada itu, dianggarkan 10 hingga 15 peratus murid bakal berjaya melepasi standard ditetapkan bagi kemasukan setiap tahun dan selepas menjalani program, murid dinaikkan ke Tahun Tiga pada tahun berikutnya.

Selain itu, kementerian akan mewujudkan program untuk murid pintar cerdas dan berbakat dalam aspek tertentu seperti matematik, bahasa, muzik dan pendidikan seni.

Program perintis
Ia antara tiga program perintis yang akan dilaksanakan, iaitu dua untuk murid pencapaian tinggi yang berdasarkan kajian dianggarkan hampir 15 peratus daripada populasi murid dan program bagi murid pintar cerdas.  Ketiga-tiga program perintis itu akan diperkenalkan dalam Gelombang Kedua (2016-2020) transformasi PPPM.

Gelombang Pertama
Kementerian akan melaksanakan Gelombang Pertama (2013-2015) dengan dalam tempoh tiga tahun berikut, tanda aras program ditetapkan dengan program pendidikan pintar cerdas terbaik.

Pada fasa terakhir pelan iaitu Gelombang Ketiga (2021-2025), kementerian akan memurnikan rangka kerja ketiga-tiga program rintis pintar cerdas dan berbakat, serta memperluaskannya pada peringkat kebangsaan.
- dipetik daripada Berita Harian
 
Cikgu Sharul -  Berubah ke arah yang lebih baik...

Thursday, August 30, 2012

Perutusan Hari Kemerdekaan Ke-55 YAB PM Datuk Seri Najib Tun Razak

Bismillahhirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia
Alhamdulillah, segala rasa syukur dipanjatkan kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, lantaran dengan rahmatnya jua, kita rakyat Malaysia berpeluang meraikan ulangtahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-55.

Saudara dan saudari,
Sudah lebih lima puluh tahun, dengan berpayungkan piagam asas nasional, yakni Perlembagaan Persekutuan serta berpandukan  ideologi kebangsaan Rukun Negara, Malaysia dan rakyatnya telah bertatih dan bertapak membangunkan sebuah negara bangsa.

Maka, berteraskan  muafakat dan kerjasama daripada semua pihak, hari ini, saya boleh melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa, kemerdekaan yang telah dicapai lebih lima dekad yang lalu,  hasil perjuangan bapa-bapa pengasas negara kita yang datang daripada pelbagai kaum, kepercayaan dan latarbelakang ini, akan terus utuh.

Begitulah, perpaduan nasional yang bertunjangkan  kepelbagaian akan kekal menjadi tiang seri kekuatan nasional. Dari sudut kemakmuran nasional pula,  ekonomi negara berkembang mapan dengan usaha sistematik dijalankan kerajaan  bagi memastikan kemakmuran dan  kesejahteraan dapat dirasai oleh semua.

Ternyata, kejayaan yang diimpikan Malaysia bukan hanya kejayaan bersifat material tetapi kejayaan yang bersifat holistik. Oleh kerana itu, di bawah payung Dasar Transformasi Nasional, prakarsa transformasi bukan sahaja melibatkan kerajaan melalui GTP dan ekonomi melalui ETP tetapi juga Transformasi Politik serta Transformasi Kawasan Luar Bandar.

Sesungguhnya, langkah berani pihak kerajaan melaksanakan Program Transformasi Politik  bagi mengimbangkan kebebasan individu dan keselamatan negara telah membugar dan mengakarkan  lagi demokrasi di Malaysia, sebagai satu budaya yang menjadi asas kepada kestabilan nasional.
Saudara dan saudari,

Malaysia merupakan bukti dan manifestasi janji ditepati dan harapan yang dipenuhi. Bagi memahami kebenaran dari kenyataan  di atas, setiap seorang daripada kita perlu kembali kepada susurgalur sejarah. Hakikatnya pun, kita mencapai kemerdekaan di tengah-tengah pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya dalam suasana di mana survival kita sebagai sebuah negara berbilang bukan sahaja daripada segi kaum, bahkan juga agama dan bahasa, pernah disangsikan oleh masyarakat dunia.

Terakam dalam kamar peristiwa, selama lima puluh lima tahun kita berjaya melangkau jangkaan serta telahan yang dibuat pelbagai pihak termasuk di kalangan warganegara sendiri. Terbukti, ramalan kononnya apa yang dimenangi bapa-bapa pengasas negara secara aman serta bijaksana tidak akan mampu dikekalkan apatah lagi ditambahbaik, adalah meleset sama sekali.

Jelasnya, dari satu titik ke satu titik, kita telah berjaya membawa kebebasan dan keamanan  kepada sebuah negara yang dahulunya terjajah dan terancam. Kita juga telah berjaya mentransformasikan sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang mana suatu ketika dahulu lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, dengan bergantung kepada beberapa komoditi, menjadi sebuah negara dengan  ekonomi bersifat  pelbagai. Malah, dewasa ini, berkembang pula sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi berpacu pantas merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 kelak. InsyaAllah.

Saudara dan saudari,

Sepanjang detik yang berlari, kita telah menggantikan kebimbangan dengan harapan, kita telah mencipta sebuah negara di mana yang penting adalah kemahuan dan kesanggupan untuk bekerja keras. Juga, di mana, anak seorang petani, pekebun kecil, buruh dan nelayan berjaya menjadi usahawan serta profesional. Pucuk pangkalnya, kita telah mencipta sebuah negara sehingga anak-anak Malaysia boleh mendambakan masa depan yang lebih baik.

Semuanya ini, merupakan nikmat daripada perancangan penuh teliti dan pelaksanaan amat berkesan oleh pihak Kerajaan yang telah diberi mandat mentadbir semenjak kemerdekaan diperoleh. Walau apapun, kejayaan yang dikecapi bukan sepatutnya menjadi alasan untuk kita berpeluk tubuh, sebaliknya, ia harus menjadi mangkin menuju sinar yang lebih terang benderang pada hari muka.

Oleh itu, dua tahun yang lalu, kita melancarkan fasa pertama Dasar Transformasi Nasional, iaitu Pelan Transformasi Kerajaan dengan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara. Tujuh NKRA bagi fasa pertama tersebut, akan tamat menjelang akhir tahun ini.

Sehubungan dengan itu, kerajaan akan  melangkah ke hadapan dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan Fasa ke-2 atau GTP 2 yang bakal melonjakkan lagi kemakmuran negara ke peringkat lebih tinggi.

GTP 2 juga akan menyaksikan penglibatan masyarakat yang lebih meluas sekaligus pembabitan yang lebih bermakna daripada pertubuhan bukan kerajaan yakni NGO dan sektor korporat.

Namun, segala usaha dan prakarsa yang dilakukan akan hanya tinggal sia-sia jika tidak didakap dan dimanfaatkan oleh semua segmen masyarakat.

Kesimpulannya, sekarang, kita berada pada satu kala masa yang amat monumental bagi Malaysia. Di sana-sini, rakyat boleh melihat perubahan ketara bukan sahaja di peringkat individu hatta di peringkat keluarga dan komuniti.

Justeru, marilah kita menjulang citra Malaysia dengan memenuhi segala janji yang dipateri dan potensi yang dimiliki demi seluruh warganya. Dari itu, saya ingin sama-sama berpesan, bahawa, janganlah kita sampai mempunah binasa apa yang telah bersusah payah dipupuk dan dicipta. Janganlah sesekali pula, diporak-peranda harmoninya watan yang telah sekian lama terbina. Moga-moga Tuhan memberi perlindungan dan melimpahkan rahmat-Nya.

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke-55.
Dirgahayu Malaysiaku. Dirgahayu Malaysiaku.
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Cikgu Sharul - Selamat Hari Kebangsaan ke 55

Sunday, August 19, 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H






Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca blog Cikgu Sharul, rakan bloggers, rakan sekerja yang mengenali Cikgu dan seluruh umat Islam tidak kira di mana jua anda berada...

Tuesday, August 7, 2012

Kutipan derma sekolah oleh pelajar tidak digalakkan: NUTP

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak menggalakkan sekolah bantuan penuh kerajaan menggunakan pelajarnya mengutip derma di luar kawasan sekolah.

Presidennya Hashim Adnan berkata NUTP melihat aktiviti itu sebagai mengundang bahaya kepada pelajar tanpa mengira peringkat usia.

"Kita tak nak nanti ada kes pelajar diculik atau dirogol," katanya di sini, hari ini.

Katanya, walaupun mendapat kebenaran jabatan pelajaran negeri masing-masing, program itu tidak sepatutnya diadakan kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kepada pihak sekolah.

"Semua kerajaan dah bagi, alat sukan tak cukup kerajaan bagi, budak miskin tak ada makanan, kerajaan peruntukkan RM1.80 setiap hari, pembangunan kalau rosak boleh minta.

"Saya hairan, kenapa nak minta derma lagi, kalau boleh, elakkan perkara berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui ada kes tertentu yang memerlukan kutipan derma seperti ketika sekolah memerlukan dana segera bagi mengganti peralatan rosak dan sebagainya.

"Apa-apa pun mereka perlu merujuk kepada jabatan pelajaran negeri masing-masing dan selalunya akan ada penyelesaian daripada jabatan untuk masalah mereka," katanya.

Isu pelajar diarah mengutip derma ini dibangkitkan ibu bapa menerusi tinjauan selain diluahkan oleh peserta beberapa forum dalam Internet yang tidak berpuas hati dengan aktiviti tidak berkesudahan itu.

"Dah lama berlaku, sejak zaman saya dulu, sekarang pun masih ada lagi, dan ianya dilakukan untuk program yang berbeza," kata seorang penjawat awam.

Beliau yang mempunyai seorang anak tahun dua di sekolah bantuan penuh kerajaan di ibu kota berkata, aktviti itu dilakukan setiap tahun.

"Tahun lalu pun ada, tahun ini kutipan diadakan untuk program ceriathon," katanya mendakwa aktiviti itu bertambah pelik kerana jika kutipan tidak mencapai sasaran, murid akan disuruh mengulangi kutipan.

Seorang lagi penjawat awam pula berkata ada masanya sekolah akan menyertakan surat memohon kebenaran ibu bapa bagi menjadikan kegiatan itu kelihatan lebih rasmi.

"Ibu bapa terpaksa membenarkan anak-anak mereka untuk terlibat sama disebabkan surat itu," katanya menambah anak saudaranya yang berusia 11 tahun terpaksa melakukan aktiviti tersebut dari rumah ke rumah hampir setiap tahun atas nama persatuan atau pun program.

"Ada pro dan kontra dalam perkara ini, namun saya risau keselamatan murid-murid di sekolah rendah," katanya.

Seorang peserta forum dalam talian melahirkan kemusykilan apabila pihak sekolah bukan sahaja menganjurkan kutipan derma tetapi turut menjanjikan hadiah bagi murid yang berjaya melakukan kutipan tertinggi.

Kebanyakan peserta forum itu berpandangan aktiviti tersebut boleh dijalankan namun tidak wajar diwajibkan kepada setiap pelajar. - dipetik daripada BERNAMA
 
 Cikgu Sharul - Sekolah Cikgu Sharul pun baru lepas kutip derma sekolah...itu lagilah, tak berkaitan dengan sekolah langsung, pun disuruh kutip..siap buat report polis lagi kalau hilang kad derma....

Thursday, August 2, 2012

CUEPACS cadang imbuhan tetap perumahan diselaras

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.

Timbalan Presiden Cuepacs, Aziz Muda, berkata cadangan berkenaan antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.
"Satu perkara yang kita beri penekanan kepada suruhanjaya adalah isu perumahan. Ini kerana dengan lonjakan harga rumah, dengan gaji yang diterima penjawat awam pada hari ini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah.

"Jadi kita minta suruhanjaya dan kerajaan melihat perkara ini secara komprehensif," katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan penambahbaikan perkhidmatan awam di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.

Beliau berkata semua cadangan itu diharap dapat dilaksanakan tahun depan.

"Kita juga minta 22 klasifikasi perkhidmatan yang telah diberi persetujuan untuk dinaik taraf (dalam Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)) daripada gred 17 kepada gred 27 seperti juruteknik, renjer hutan, pembantu pertanian berkuatkuasa 1 Jan 2012," katanya.

Aziz berkata selain 23 syor itu, Cuepacs turut membentangkan 23 isu penjawat awam pada masa ini serta 24 cadangan penambahbaikan untuk memberi pengiktirafan kepada penjawat awam.

Katanya Cuepacs komited mengubah persepsi rakyat mengenai kualiti perkhidmatan awam demi kepuasan rakyat.

"Kami komited untuk memberi jaminan kepada kerajaan bahawa Cuepacs menyokong penuh supaya perubahan drastik dibuat untuk memperbaiki sistem penyampaian yang ada sekarang ini," katanya. 
- dipetik daripada BERNAMA
Cikgu Sharul Alangkah bagusnya jika cadangan ini menjadi kenyataan...

Cuti Berganti Sempena Hari Raya Aidil Fitri 2012




 Cikgu Sharul - Boleh lah cuti awal sikit...

Wednesday, July 25, 2012

PM umum bonus setengah bulan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bonus setengah bulan gaji dgn bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas RM500 untuk pesara kerajaan yang dibayar pada 9 Ogos ini. - dipetik daripada BERNAMA.

Cikgu Sharul - Syukur Alhamdulillah...Terima kasih PM...

Monday, July 23, 2012

JPA lengah naik gred guru

Empat ratus guru yang memperoleh ijazah menerusi program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) belum menerima kenaikan gred sejak lima tahun lalu.  Maklumat itu diperoleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) daripada kesatuan guru di seluruh negara, selain aduan disalur guru terbabit.

Kebanyakan mereka mengikuti pengajian pada 2003 dan menamatkannya empat tahun kemudian.

Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata selepas tamat pengajian mereka memohon kenaikan gred kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pelajaran, namun belum diluluskan sehingga sekarang.
 - dipetik daripada Berita Harian.

Cikgu Sharul - Lambatnya nak naik gred ni....

Tuesday, January 10, 2012

Perutusan Menteri Pelajaran Malaysia YAB Dato' Hj Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam
1Malaysia.

Yang Berhormat Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong
Timbalan Menteri Pelajaran I;

Yang Berhormat Dr. Mohd Puad bin Zarkashi
Timbalan Menteri Pelajaran II;

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Rosli bin Mohamed
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran;
Yang Berbahagia Dato’ Sri Abd. Ghafar bin Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;

Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan
Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran;
Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia;

Dato’-Dato’, Datin-Datin, Guru-guru, anggota kakitangan dan staf Kementerian
Pelajaran Malaysia, pelajar-pelajar, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

PENGENALAN

1. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia serta izinNya, dapatlah kita bersama-sama hadir di Majlis Perutusan Tahun Baru Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi tahun 2012. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua warga pendidik dan seluruh rakyat Malaysia. Kepada warga pendidik khususnya, harapan saya semoga di tahun baru ini sinar kegemilangan dan kejayaan akan terus menerangi kehidupan kita semua yang mempunyai amanah besar untuk meningkatkan akses pendidikan berkualiti di negara kita.

2. Saya berasa bangga kerana pada hari ini seluruh warga Kementerian dari segenap pelusuk tanah air dapat berhimpun untuk memperbaharui tekad dan menyuntik semangat baru bagi melonjakkan mutu pendidikan negara. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas usaha gigih dan komitmen yang telah dicurahkan kepada usaha untuk mencipta pelbagai kejayaan dalam arena pendidikan Negara sepanjang tahun 2011.

3. Sesunguhnya, Kementerian Pelajaran adalah nadi utama dalam usaha untuk membangunkan modal insan yang akan memacu kemajuan negara di masa hadapan. Matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju amat bergantung kepada keupayaan warga Kementerian dalam menyediakan pendidikan berkualiti. Justeru, setiap warga pendidik perlu meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta melipat gandakan usaha bagi melahirkan modal insan yang berilmu, kreatif dan inovatif untuk mengisi keperluan masa kini dan masa hadapan. Usaha murni berterusan oleh warga pendidik dalam melahirkan modal insan yang dihasratkan akan berupaya meningkatkan daya saing negara, melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan sekaligus menjadikan negara kita sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

4. Sehubungan itu, Kementerian kita telah diberikan satu peruntukan yang besar iaitu sebanyak 37.28 bilion ringgit dalam belanjawan tahun 2012. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana telah meluluskan peruntukan yang besar kepada Kementerian Pelajaran dan memberi keyakinan kepada kita semua sebagai pemangkin utama pembangunan modal insan di Malaysia. Saya berharap agar peruntukan ini kita belanjakan secara cekap dan berhemah agar dapat memberi kesan berganda yang positif kepada pembangunan
pendidikan secara menyeluruh.

INFRASTRUKTUR DAN KEBAJIKAN

5. Bagi memastikan kelangsungan pembangunan pendidikan negara, dasar perancangan pembangunan pendidikan Rancangan Malaysia Ke-10 diteruskan dengan matlamat memantapkan infrastuktur dan meningkatkan kemudahan fizikal institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Untuk tahun 2011, Kementerian Pelajaran telah membelanjakan sejumlah 1.03 billion ringgit untuk pendidikan pra-sekolah dan rendah, 795.1 juta ringgit untuk pendidikan menengah dan 29.97 juta ringit telah diperuntukan untuk aliran teknik dan vokasional. Sementara itu, program pembangunan luar Bandar, Sabah dan Sarawak telah menelan belanja sebanyak 525.7 juta ringgit dan sistem pengkomputeran sekolah sebanyak 22.8 juta ringgit.

6. Dalam memastikan akses pendidikan berkualiti diteruskan kepada anak bangsa, sebanyak tiga projek infrastruktur baru dan 1,967 projek sambungan dengan peruntukan sebanyak RM4.58 bilion telah diberikan untuk tahun 2012. Pendidikan Sekolah Bantuan Kerajaan diteruskan dengan memperuntukkan belanja mengurus termasuk emolumen guru dan geran per kapita yang sama kepada semua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) dan sekolah mubaligh. Usaha menyelenggara sekolah-sekolah daif dan uzur di kawasan Bandar dan luar Bandar akan dilaksanakan dengan menaiktaraf dan menyelenggara 600 buah sekolah yang dikategorikan sebagai uzur dan daif oleh pihak pemantauan audit fizikal yang ditubuhkan oleh Kementerian. Sehubungan itu, peruntukan tambahan yang diperolehi bagi tahun 2012 semasa pembentangan Bajet 2012 iaitu Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah digunakan bagi usaha-usaha membaikpulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Bantuan ini juga merangkumi peruntukan sebanyak 500 juta ringgit untuk sekolah-sekolah kebangsaan, manakala 100 juta ringgit masing-masing untuk SJKC, SJKT, sekolah mubaligh dan SABK.

7. Pembangunan pendidikan dan kemajuan murid Orang Asli juga diambil perhatian berat oleh Kerajaan. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi menangani isu-isu pendidikan murid Orang Asli khususnya penyertaan Murid Orang Asli sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah. Antaranya:- (i) Meningkatkan kualiti kemudahan fizikal di sekolah sedia ada, (ii) Pelaksanaan Program Kelas Dewasa Ibu Bapa Murid Orang Asli dan Pribumi (KEDAP), (iii) Pelaksanaan Projek Rintis Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah iMurid Orang Asli dan Penan (KAP) dan (iv) Pengajaran Pedagogi Berasaskan Perspektif Pribumi. Usaha ini adalah sejajar dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan KPM yang bertujuan untuk memastikan setiap warganegara, tanpa mengira kaum dan status ekonomi, mendapat peluang pendidikan yang terbaik dari segi akses, ekuiti dan kualiti. Hasil program-program ini, Kementerian berjaya meningkatkan kemahiran 3M dan kemahiran sosial murid Orang Asli,
meningkatkan jumlah murid Orang Asli yang menamatkan pendidikan sehingga peringkat menengah, iaitu peningkatan sebanyak 4 peratus pada tahun 2010, serta merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar. Dapatan yang memberangsangkan ini akan mendorong Kementerian Pelajaran untuk meneruskan program-program ini dengan lebih giat lagi agar manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan.

8. Kerajaan sedar akan peningkatan kos sara hidup sejak akhir- akhir ini. Namun, hal ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan pendidikan anak-anak kita. Justeru, untuk meringankan beban kos tanggungan persekolahan, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah 530 juta ringgit untuk Bantuan Khas Awal Tahun kepada setiap murid dengan pemberian 100 ringgit seorang. Selain itu, pemberian dalam bentuk Baucer Buku bernilai 200 ringgit juga akan disalurkan kepada setiap pelajar Matrikulasi dan Tingkatan 6 dengan jumlah peruntukan sebanyak 24 juta ringgit. Keprihatinan Kerajaan menyalurkan bantuan persekolahan kepada mereka yang kurang berkemampuan diteruskan pada tahun ini dengan bantuan kepada murid miskin dengan jumlah keseluruhan peruntukan berjumlah 606 juta ringgit. Peruntukan ini meliputi Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) berjumlah 400 juta ringgit, Rancangan Makanan Tambahan sebanyak 201.9 juta ringgit dan Bantuan Pakaian Seragam Pasukan Beruniform sebanyak 4.5 juta ringgit. Kementerian kita telah mengambil inisiatif untuk memastikan penyaluran peruntukan bantuan persekolahan dilaksanakan dengan lebih baik melalui penambahbaikan kaedah penyaluran menggunakan Sistem eBantuan. Pelaksanaan sistem ini dapat memastikan murid menerima bantuan persekolahan dengan lebih cepat dan sistematik.

9. Kita menyedari bahawa dalam dunia pendidikan di Malaysia yang pesat berkembang ini, terdapat murid yang cerdas namun tidak berpeluang untuk menggarap potensi dalam bidang akademik lantaran wujud kekangan persekitaran seperti kemiskinan keluarga, keadaan rumah yang kurang sesuai dan ketiadaan akses kepada teknologi maklumat. Oleh yang demikian, selaras dengan semangat asal penubuhan Sekolah Berasrama Penuh, iaitu untuk membantu murid-murid cemerlang terutamanya dari kalangan keluarga miskin dan luar bandar, Kementerian telah menetapkan mulai tahun 2012, kelayakan minima bagi kemasukan murid ke Tingkatan Satu di SBP untuk murid dari keluarga Miskin Tegar ialah 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Dalam pemilihan untuk kemasukan ke tingkatan 1 SBP 2012, pihak Kementerian melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan telah memilih seramai 1052 orang murid daripada golongan Miskin Tegar di seluruh negara. Dengan menyediakan pendidikan yang lebih baik kepada mereka, kita berharap murid-murid ini mampu untuk meningkatkan kecemerlangan diri dan seterusnya membantu keluarga mereka keluar daripada lingkungan kemiskinan.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

GTP NKRA

10. Sebagai Menteri Peneraju Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Sektor Pendidikan, saya bertanggungjawab memastikan kesemua sasaran yang ditetapkan di bawah lima bidang kecil NKRA pendidikan iaitu, enrolmen pra-sekolah, program literasi dan numerasi (LINUS), sekolah berprestasi tinggi (SBT), tawaran baru ataupun Ba’iah untuk pengetua dan guru besar dan program penambahbaikan sekolah dapat dicapai. Sukacita saya ingin maklumkan di sini bahawa sasaran untuk kesemua sub-NKRA tersebut telah melepasi sasaran 2011. Kita telah berjaya meningkatkan enrolmen pra-sekolah kepada 76.3 peratus, 97.5 peratus murid telah menguasai kemahiran literasi dan 96.8 peratus menguasai kemahiran numerasi, 52 buah sekolah telah dinobatkan sebagai sekolah berprestasi tinggi dan 304 buah sekolah berjaya melonjakkan prestasi di bawah Program Pembangunan Sekolah. Oleh kerana tahun ini adalah tahun terakhir untuk kita mencapai kesemua sasaran NKRA Pendidikan, saya berharap agar semua warga pendidik dapat melipatgandakan usaha untuk memastikan semua sasaran yang telah ditetapkan dapat dicapai. Saya yakin dengan semangat dan iltizam semua pihak, serta dengan izin Allah s.w.t., kita mampu untuk melakukannya.

11. Selain itu, Program Sekolah Amanah yang dilancarkan pada akhir 2010 di bawah usaha sama awam-swasta Khazanah Nasional Berhad melalui Yayasan AMIR dan Kementerian Pelajaran Malaysia merangkumi 10 buah sekolah rintis di Johor dan Sarawak telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Walaupun baru setahun dilaksanakan, program ini telah mula menampakkan kesan yang positif. Antaranya, otonomi pengurusan telah menyebabkan pengurusan kewangan sekolah menjadi lebih teratur, fleksibel dan efektif; kaedah pedagogi terkini yang seiring dengan kehendak KSSR telah dapat dilaksanakan dengan baik dan penyertaan ibu-bapa serta komuniti dalam proses pembelajaran murid juga telah meningkat. Di samping itu, murid-murid Tahun 1 dan 2 yang mengikuti Program Sekolah Amanah juga menampakkan keyakinan diri yang lebih kental berbanding mereka yang berada di tahap persekolahan yang lebih tinggi. Berdasarkan pencapaian yang positif ini, saya berharap lebih banyak lagi sekolah yang dapat menyertai Program Sekolah Amanah dengan sokongan berterusan daripada pihak swasta.

MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA
INGGERIS (MBMMBI)

12. Penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid juga diberikan perhatian khusus oleh pihak Kementerian. Melalui Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), Kementerian sedang mengambil beberapa inisiatif baru yang lebih berkesan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid. Antara inisiatif tersebut adalah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum Bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru-guru terlatih dalam bidang bahasa Inggeris, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris dan penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Selain itu, dasar soft-landing PPSMI juga sedang dilaksanakan untuk memastikan pembelajaran kohort murid PPSMI sedia ada tidak terjejas.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

PENCAPAIAN AKADEMIK DAN KEMENJADIAN MURID

13. Dari segi pencapaian akademik, kita telah menyaksikan peningkatan pencapaian murid dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2011. Pencapaian keseluruhan calon UPSR dan PMR meningkat dan merupakan yang terbaik dalam empat tahun mengikut Gred Purata Nasional. Untuk itu, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga pendidik, para ibu bapa dan pelajar atas kejayaan cemerlang ini. Saya berharap pada tahun ini, pencapaian calon UPSR dan PMR yang mendapat kelulusan penuh dapat menunjukkan peningkatan yang lebih memberangsangkan lagi.

14. Selain menitikberatkan pencapaian akademik, Kementerian juga memberikan penekanan kepada pelaksanaan aktiviti kokurikulum dan sukan. Aktiviti luaran ini adalah penting untuk menggarap sahsiah dan kemahiran kendiri pelajar dalam membentuk modal insan yang seimbang. Pelancaran Dasar 1Murid 1Sukan yang telah disempurnakan pada 2 Julai 2011 merupakan salah satu tunggak dalam membudayakan sukan di kalangan murid. Selain itu, penubuhan IPG kebitaraan sukan Raja Melewar di Negeri Sembilan merupakan satu permulaan ke arah meningkatkan professionalisme latihan kesukanan di kalangan guru-guru pelatih.

15. Tahun 2011 telah memperlihatkan kejayaan pelajar-pelajar kita mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan, seni dan kokurikulum di peringkat antarabangsa. Atlet murid kita telah memenangi Pingat Acara Individu dan Berpasukan di beberapa acara sukan seperti Piala Dunia Memanah di Shanghai, China, temasya Sukan Komanwel Remaja ke-4 2011 di Isle of Man dan Kejohanan Sukan SEA ke-26. Murid kita juga tidak kurang hebatnya dalam bidang reka cipta inovasi dengan mewakili negara di peringkat antarabangsa di Inova 2011, 36th International Invention Show, Zagreb Fair, Croatia.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH

16. Kementerian juga melihat bahawa satu sistem pentaksiran yang lebih holistik adalah penting bagi membolehkan potensi murid dikenalpasti dan digarap secara menyeluruh. Justeru, Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang merupakan satu penambahbaikan terhadap sistem pentaksiran pendidikan kebangsaan telah dilaksanakan secara berperingkat mulai Tahun 1, 2011. Pada tahun 2012, Pentaksiran Berasaskan Sekolah melibatkan guru dan murid Tahun 2 di sekolah rendah dan Tingkatan 1 di sekolah menengah. Transformasi Pentaksiran Pendidikan melalui PBS membawa kepada penghijrahan daripada pentaksiran berorientasikan peperiksaan kepada pentaksiran yang lebih holistik, bersepadu dan seimbang. Pentaksiran yang dijalankan secara berterusan untuk mengesan dan memantau perkembangan dan pencapaian murid dalam pembelajaran diharapkan mampu mencungkil potensi dan bakat murid dalam pelbagai bidang selain bidang akademik. Harapan saya, melalui sistem pentaksiran baru ini murid-murid berpeluang untuk meningkatkan potensi diri secara menyeluruh dan menjadi lebih kreatif dan inovatif dengan bimbingan secara berterusan oleh guru.

TRANSFORMASI TVET

17. Selain itu, transformasi sistem pendidikan turut dilakukan dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan keupayaan penyampaian agar terus relevan dengan tuntutan semasa dengan membuat perubahan pada hala tuju pendidikan vokasional dan teknikal. Pada minggu lalu saya telah melancarkan pelan transformasi pendidikan teknikal dan vokasional. Di samping strategi dan tindakan yang telah digariskan dalam pelan transformasi pendidikan teknikal dan vokasional, pihak industri, sektor swasta dan agensi-agensi berkaitan akan turut berperanan menaikkan status dan mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan vokasional seperti di negara-negara maju dan serantau yang lain.

TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI DALAM PENDIDIKAN

18. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mentransformasi sistem pendidikan negara, Kementerian Pelajaran telah melancarkan Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan pada tahun lalu. Melalui dasar ini, kerajaan mensasarkan untuk memperluaskan capaian jalur lebar di sekolah-sekolah di seluruh negara dan menyediakan persekitaran pembelajaran maya kepada semua murid. Konsep persekitaran pembelajaran maya ini dilaksanakan untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta memperkukuh sistem pengurusan maklumat berkaitan pendidikan di sekolah-sekolah di seluruh negara. Sehingga 31 Disember 2011, sebanyak 200 sekolah sudah siap dipasang capaian jalur lebar manakala sehingga April 2012 sebanyak 1052 sekolah lagi akan siap dipasang. Menjelang akhir 2012 sebanyak 7902 sekolah di seluruh negara dijangkakan mendapat perkhidmatan jalur lebar dan melaksanakan konsep persekitaran pembelajaran maya. Pemasangan capaian jalur lebar untuk semua sekolah dijadualkan siap sepenuhnya menjelang Mac 2013.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

PENAMBAHBAIKAN PERKHIDMATAN DAN PROFESION KEGURUAN

19. Sepanjang tahun lalu, saya telah meluangkan masa untuk bertemu dan berdialog dengan guru-guru di seluruh negara. Saya juga telah bertemu dengan kesatuan-kesatuan guru bagi untuk lebih memahami cabaran yang dihadapi oleh guru dalam melaksakan tugas sebagai pendidik. Dalam siri pertemuan ini, antara perkara yang sering dibangkitkan ialah soal kebajikan guru, terutamanya tentang sistem saraan dan prospek kemajuan kerjaya. Saya mengambil perhatian yang berat mengenai perkara ini dan telah berbincang dengan YAB Perdana Menteri serta Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mencari jalan bagaimana profesion keguruan dapat kita mantapkan lagi dengan menambahbaik sistem saraan dan peluang kenaikan pangkat bagi guru-guru. Alhamdulillah, pandangan guru-guru dan kesatuan telah diambil kira oleh kerajaan. Hasilnya, pengumuman pertama mengenai penambahbaikan perkhidmatan keguruan telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri semasa sambutan Hari Guru pada tahun lalu. Kemudiannya, beberapa penambahbaikan tambahan telah dimasukkan dalam Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mula
dilaksanakan pada tahun ini.

20. Di bawah SBPA, kerajaan memberikan penekanan kepada peningkatan kualiti dalam perkhidmatan yang merangkumi: (i) peluang kenaikan pangkat yang cepat berdasarkan kecekapan dan prestasi; (ii) peningkatan pembangunan profesional secara berterusan; dan (iii) pelaksanaan kaedah pengurusan prestasi yang lebih mantap. Saya berharap agar semua pihak bersikap terbuka dalam menerima penambahbaikan dan pelbagai faedah yang terdapat dalam skim baru ini di samping mempertingkatkan kualiti kerja masing-masing.

21. Selaras dengan hasrat memartabatkan profesion keguruan, KPM melalui Bahagian Pendidikan Guru telah menyediakan bantuan yuran pengajian kepada guru-guru untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah pertama di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Infrastruktur Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) juga ditingkatkan dengan menaiktaraf infrastruktur sedia ada untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik dan persekitaran yang lebih kondusif kepada bakal-bakal guru dalam mengikuti latihan perguruan.

22. Transformasi dalam pendidikan guru turut dilaksanakan bagi memastikan pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif digunakan dalam pembelajaran dan pengajaran. Untuk itu, Institut Pendidikan Guru telah mengambil inisiatif menyemak dan menggubal kurikulum pendidikan guru dengan melaksanakan pedagogi dan pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif merentas kurikulum sedia ada. Pendekatan aplikasi seni dalam pendidikan dan pengaplikasian alat kemahiran berfikir dalam aktiviti pembelajaran dan penyelesaian masalah digunakan untuk mencetus daya kreativiti dan inovasi pelatih guru bagi membentuk minda kreatif murid.

23. Kementerian juga bekerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dalam melaksanakan projek rintis i-THINK (Thinking Schools) di 10 buah sekolah terpilih di seluruh negara dan menjalin usahasama dengan World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia bagi melahirkan IPG Lestari melalui penggunaan kaedah yang inovatif dalam meningkatkan kesedaran pemeliharan alam sekitar dan budaya ‘hijau’ . Selain itu, kolaborasi dengan Petrosains dijalankan bagi membolehkan pendedahan dan pengamalan kaedah inkuiri penemuan dalam pengajaran mata pelajaran sains dan matematik. Jalinan kerjasama yang dibuat dengan agensi-agensi tersebut adalah bagi memantapkan lagi komitmen melahirkan guru yang boleh menghasilkan pembelajaran dan pengajaran yang interaktif.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

PENILAIAN SEMULA SISTEM PENDIDIKAN NEGARA DAN INOVASI

24. Walaupun sistem pendidikan kita telah banyak menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara selama ini, kita perlu mengakui bahawa penambahbaikan berterusan diperlukan jika kita ingin melihat mutu pendidikan di negara kita setanding dengan pendidikan di negara-negara maju. Untuk itu, kajian semula sistem pendidikan secara menyeluruh sedang dilaksanakan dengan tujuan untuk (i) memahami garis dasar pencapaian dan membangunkan fakta asas berdasarkan cabaran sistem sekolah Malaysia dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan standard dan merapatkan jurang pencapaian; (ii) mengiktiraf kejayaan dan kemajuan yang dicapai; (iii) menterjemahkan penilaian kepada halatuju masa depan sistem pendidikan; dan (iv) menyokong transformasi Kementerian Pelajaran.

27. Bagi fasa pertama, penilaian sistem dilaksanakan dengan menubuhkan Panel Penilai Bebas tempatan dan antarabangsa bertujuan untuk memberi input dan panduan dalam penilaian tersebut. Panel yang dilantik membantu proses penilaian dengan menyediakan khidmat kepakaran dan nasihat serta mendapatkan pelbagai pandangan dan perspektif yang luas mengenai sistem pendidikan negara. Dalam menyokong penilaian ini, bantuan kepakaran juga diperolehi daripada UNESCO melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman Kajian Semula Dasar Pendidikan Malaysia yang ditandatangani pada 18 Disember 2011. Adalah dijangkakan Laporan Penilaian dan Halatuju Sistem Pendidikan Negara yang lengkap akan dibentangkan sebelum akhir tahun 2012.

25. Pada masa yang sama, Malaysia turut bekerjasama dengan UNESCO untuk membantu negara-negara kurang membangun termasuk Negara-negara kepulauan kecil dan Negara-negara Afrika bagi mencapai sasaran EFA dengan menandatangani Memorandum Persefahaman Malaysia-UNESCO Cooperation Programme (MUCP) pada 15 November 2011. Saya berharap kerjasama yang dijalinkan dengan anggota-anggota UNESCO secara tidak langsung dapat memantap dan meletakkan pendidikan negara kita di tahap yang membanggakan serta bertaraf antarabangsa.

26. Kerajaan percaya dengan program-program dan inisiatif yang telah disebutkan tadi, sistem pendidikan kita dapat melahirkan generasi rakyat Malaysia yang inovatif, kreatif dan mampu melonjakkan negara menjadi pemimpin di persada antarabangsa dalam bidang pendidikan. Semua ini memerlukan cetusan inovasi yang mampu meningkatkan daya saing negara, menjana ilmu dan mensejahterakan rakyat.

29. Memandangkan gerakan inovasi di Malaysia masih lagi di umur muda, Kementerian menyahut seruan Kerajaan bagi meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya inovasi di kalangan warga KPM dengan melaksanakan Tahun Inovasi KPM 2012 bertemakan Mengungguli Modal Insan: Mencerna Kreativiti, Mencetus Inovasi. Inovasi dan kreativiti tidak hanya disarankan kepada murid sekolah dan institusi pendidikan sahaja malah melibatkan keseluruhan warga KPM di peringkat kumpulan premier, kumpulan pengurusan dan professional serta kumpulan pelaksana supaya rantaian nilai pendidikan negara boleh dianjak ke satu tahap yang lebih tinggi.

30. Bagi menyokong inisiatif pelaksanaan Tahun Inovasi KPM 2012, pelbagai program dan aktiviti inovasi akan dilaksanakan sepanjang tahun ini melibatkan seluruh warga Kementerian Pelajaran. Saya berharap warga KPM akan memberi sumbangan dan sokongan padu terhadap aktiviti-aktiviti tersebut selain meneruskan sumbangan cetusan idea kreatif bagi mengarusperdanakan peningkatan budaya inovasi.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

PENUTUP

31. Cabaran yang bakal kita hadapi sepanjang tahun 2012 ini amat kritikal kepada kejayaan kita sebagai warga pendidik untuk mencapai sepenuhnya sasaran-sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKRA pendidikan. Selain itu, pelaksanaan dasar-dasar baru seperti Pentaksiran Berasaskan Sekolah, Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan

Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga pendidik yang telah berusaha memerah keringat dalam menjayakan pelbagai program pendidikan pada tahun 2011. Tanamkanlah tekad dan iltizam untuk terus mendaki puncak kejayan. Bagi tahun 2012, saya berharap lebih banyak jalinan kerjasama dengan semua pihak dapat dibuat bagi memastikan penambahbaikan dan pemantapan sistem pendidikan negara tercapai. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan matlamat menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada rakyat dan mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia di negara kita. Semoga usaha kita akan sentiasa diberkati Allah SWT dan segala perancangan kita akan berjalan dengan lancar, inshaAllah.

Wabillahi al-taufiq walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
-dipetik daripada www.moe.gov.my

Cikgu Sharul - Arus pendidikan sentiasa berubah mengikut masa, maka kita sebagai pendidik perlu bersifat boleh ubah...demi masa depan anak-anak, bangsa dan negara...

Tuesday, January 3, 2012

7,000 graduan ISMP ditemuduga; Lulusan ijazah perguruan ditempatkan di sekolah terpilih bermula Mac

Kerajaan memberi jaminan nasib kira-kira 7,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) termasuk 5,000 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang belum ditempatkan akan ditemuduga bulan ini, sebelum mereka yang layak ditempatkan di sekolah terpilih bermula Mac depan.

Bagaimanapun, penempatan lepasan ISMP yang belum menjalani proses temu duga dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) tertakluk kepada kekosongan, opsyen dipilih dan cukup syarat kelayakan.

Difahamkan, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas peringkat Kementerian Pelajaran minggu lalu selepas kerajaan menyelesaikan isu membabitkan lebih 13,000 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) dengan 60 peratus darinya bakal diserapkan ke jawatan guru tetap selepas ditawarkan mengikuti kursus perguruan, juga mulai bulan ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi ketika mengesahkan penempatan graduan ISMP, meminta lepasan guru itu bersabar kerana proses berkaitan sedang berjalan.

“Kita minta yang belum dapat penempatan kerja supaya bersabar kerana SPP sudah mendapat senarai semua IPTA untuk dipanggil temu duga. Apapun pelantikan itu akan dibuat berasaskan kepada kekosongan (di sekolah seluruh negara), opsyen dan cukup syarat kelayakan,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas kedudukan 7,000 lepasan ISMP yang belum ditawarkan tempat menyebabkan ada di kalangan mereka menganggur kerana sukar mendapatkan pekerjaan sesuai.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran memberi jaminan untuk menyerap 7,079 GSTT ke jawatan tetap di seluruh negara selepas menawarkan pihak terbabit peluang mengikuti kursus dalam bidang perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan IPTA terpilih, dengan sebilangan daripada mereka ditawarkan menjadi guru kontrak yang dibayar gaji mengikut hari, bermula tahun ini.

Jumaat lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata kira-kira 3,000 graduan termasuk lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL dan lepasan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang sudah ditemuduga bermula November lalu, dijangka ditempatkan di sekolah terpilih bermula bulan ini.

Sementara itu, Penyelaras Gabungan Graduan ISMP Malaysia, Abdul Rahman Usman menyambut baik jaminan kerajaan dan berharap masalah itu diselesaikan dengan segera kerana ada di kalangan lepasan ISMP yang menganggur sejak empat tahun lalu.

Katanya, kebanyakan majikan tidak berani mengambil graduan ISMP sebagai pekerja kerana khuatir mereka akan meninggalkan syarikat selepas menerima tawaran mengajar. - dipetik daripada Berita Harian Online.

Cikgu Sharul - Untuk adik-adik bakal pendidik.. Banyakkan bersabar, nanti ada juga panggilan untuk kalian semua..