Thursday, August 30, 2012

Perutusan Hari Kemerdekaan Ke-55 YAB PM Datuk Seri Najib Tun Razak

Bismillahhirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia
Alhamdulillah, segala rasa syukur dipanjatkan kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, lantaran dengan rahmatnya jua, kita rakyat Malaysia berpeluang meraikan ulangtahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-55.

Saudara dan saudari,
Sudah lebih lima puluh tahun, dengan berpayungkan piagam asas nasional, yakni Perlembagaan Persekutuan serta berpandukan  ideologi kebangsaan Rukun Negara, Malaysia dan rakyatnya telah bertatih dan bertapak membangunkan sebuah negara bangsa.

Maka, berteraskan  muafakat dan kerjasama daripada semua pihak, hari ini, saya boleh melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa, kemerdekaan yang telah dicapai lebih lima dekad yang lalu,  hasil perjuangan bapa-bapa pengasas negara kita yang datang daripada pelbagai kaum, kepercayaan dan latarbelakang ini, akan terus utuh.

Begitulah, perpaduan nasional yang bertunjangkan  kepelbagaian akan kekal menjadi tiang seri kekuatan nasional. Dari sudut kemakmuran nasional pula,  ekonomi negara berkembang mapan dengan usaha sistematik dijalankan kerajaan  bagi memastikan kemakmuran dan  kesejahteraan dapat dirasai oleh semua.

Ternyata, kejayaan yang diimpikan Malaysia bukan hanya kejayaan bersifat material tetapi kejayaan yang bersifat holistik. Oleh kerana itu, di bawah payung Dasar Transformasi Nasional, prakarsa transformasi bukan sahaja melibatkan kerajaan melalui GTP dan ekonomi melalui ETP tetapi juga Transformasi Politik serta Transformasi Kawasan Luar Bandar.

Sesungguhnya, langkah berani pihak kerajaan melaksanakan Program Transformasi Politik  bagi mengimbangkan kebebasan individu dan keselamatan negara telah membugar dan mengakarkan  lagi demokrasi di Malaysia, sebagai satu budaya yang menjadi asas kepada kestabilan nasional.
Saudara dan saudari,

Malaysia merupakan bukti dan manifestasi janji ditepati dan harapan yang dipenuhi. Bagi memahami kebenaran dari kenyataan  di atas, setiap seorang daripada kita perlu kembali kepada susurgalur sejarah. Hakikatnya pun, kita mencapai kemerdekaan di tengah-tengah pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya dalam suasana di mana survival kita sebagai sebuah negara berbilang bukan sahaja daripada segi kaum, bahkan juga agama dan bahasa, pernah disangsikan oleh masyarakat dunia.

Terakam dalam kamar peristiwa, selama lima puluh lima tahun kita berjaya melangkau jangkaan serta telahan yang dibuat pelbagai pihak termasuk di kalangan warganegara sendiri. Terbukti, ramalan kononnya apa yang dimenangi bapa-bapa pengasas negara secara aman serta bijaksana tidak akan mampu dikekalkan apatah lagi ditambahbaik, adalah meleset sama sekali.

Jelasnya, dari satu titik ke satu titik, kita telah berjaya membawa kebebasan dan keamanan  kepada sebuah negara yang dahulunya terjajah dan terancam. Kita juga telah berjaya mentransformasikan sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang mana suatu ketika dahulu lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, dengan bergantung kepada beberapa komoditi, menjadi sebuah negara dengan  ekonomi bersifat  pelbagai. Malah, dewasa ini, berkembang pula sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi berpacu pantas merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 kelak. InsyaAllah.

Saudara dan saudari,

Sepanjang detik yang berlari, kita telah menggantikan kebimbangan dengan harapan, kita telah mencipta sebuah negara di mana yang penting adalah kemahuan dan kesanggupan untuk bekerja keras. Juga, di mana, anak seorang petani, pekebun kecil, buruh dan nelayan berjaya menjadi usahawan serta profesional. Pucuk pangkalnya, kita telah mencipta sebuah negara sehingga anak-anak Malaysia boleh mendambakan masa depan yang lebih baik.

Semuanya ini, merupakan nikmat daripada perancangan penuh teliti dan pelaksanaan amat berkesan oleh pihak Kerajaan yang telah diberi mandat mentadbir semenjak kemerdekaan diperoleh. Walau apapun, kejayaan yang dikecapi bukan sepatutnya menjadi alasan untuk kita berpeluk tubuh, sebaliknya, ia harus menjadi mangkin menuju sinar yang lebih terang benderang pada hari muka.

Oleh itu, dua tahun yang lalu, kita melancarkan fasa pertama Dasar Transformasi Nasional, iaitu Pelan Transformasi Kerajaan dengan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara. Tujuh NKRA bagi fasa pertama tersebut, akan tamat menjelang akhir tahun ini.

Sehubungan dengan itu, kerajaan akan  melangkah ke hadapan dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan Fasa ke-2 atau GTP 2 yang bakal melonjakkan lagi kemakmuran negara ke peringkat lebih tinggi.

GTP 2 juga akan menyaksikan penglibatan masyarakat yang lebih meluas sekaligus pembabitan yang lebih bermakna daripada pertubuhan bukan kerajaan yakni NGO dan sektor korporat.

Namun, segala usaha dan prakarsa yang dilakukan akan hanya tinggal sia-sia jika tidak didakap dan dimanfaatkan oleh semua segmen masyarakat.

Kesimpulannya, sekarang, kita berada pada satu kala masa yang amat monumental bagi Malaysia. Di sana-sini, rakyat boleh melihat perubahan ketara bukan sahaja di peringkat individu hatta di peringkat keluarga dan komuniti.

Justeru, marilah kita menjulang citra Malaysia dengan memenuhi segala janji yang dipateri dan potensi yang dimiliki demi seluruh warganya. Dari itu, saya ingin sama-sama berpesan, bahawa, janganlah kita sampai mempunah binasa apa yang telah bersusah payah dipupuk dan dicipta. Janganlah sesekali pula, diporak-peranda harmoninya watan yang telah sekian lama terbina. Moga-moga Tuhan memberi perlindungan dan melimpahkan rahmat-Nya.

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke-55.
Dirgahayu Malaysiaku. Dirgahayu Malaysiaku.
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Cikgu Sharul - Selamat Hari Kebangsaan ke 55

Sunday, August 19, 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H






Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca blog Cikgu Sharul, rakan bloggers, rakan sekerja yang mengenali Cikgu dan seluruh umat Islam tidak kira di mana jua anda berada...

Tuesday, August 7, 2012

Kutipan derma sekolah oleh pelajar tidak digalakkan: NUTP

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak menggalakkan sekolah bantuan penuh kerajaan menggunakan pelajarnya mengutip derma di luar kawasan sekolah.

Presidennya Hashim Adnan berkata NUTP melihat aktiviti itu sebagai mengundang bahaya kepada pelajar tanpa mengira peringkat usia.

"Kita tak nak nanti ada kes pelajar diculik atau dirogol," katanya di sini, hari ini.

Katanya, walaupun mendapat kebenaran jabatan pelajaran negeri masing-masing, program itu tidak sepatutnya diadakan kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kepada pihak sekolah.

"Semua kerajaan dah bagi, alat sukan tak cukup kerajaan bagi, budak miskin tak ada makanan, kerajaan peruntukkan RM1.80 setiap hari, pembangunan kalau rosak boleh minta.

"Saya hairan, kenapa nak minta derma lagi, kalau boleh, elakkan perkara berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui ada kes tertentu yang memerlukan kutipan derma seperti ketika sekolah memerlukan dana segera bagi mengganti peralatan rosak dan sebagainya.

"Apa-apa pun mereka perlu merujuk kepada jabatan pelajaran negeri masing-masing dan selalunya akan ada penyelesaian daripada jabatan untuk masalah mereka," katanya.

Isu pelajar diarah mengutip derma ini dibangkitkan ibu bapa menerusi tinjauan selain diluahkan oleh peserta beberapa forum dalam Internet yang tidak berpuas hati dengan aktiviti tidak berkesudahan itu.

"Dah lama berlaku, sejak zaman saya dulu, sekarang pun masih ada lagi, dan ianya dilakukan untuk program yang berbeza," kata seorang penjawat awam.

Beliau yang mempunyai seorang anak tahun dua di sekolah bantuan penuh kerajaan di ibu kota berkata, aktviti itu dilakukan setiap tahun.

"Tahun lalu pun ada, tahun ini kutipan diadakan untuk program ceriathon," katanya mendakwa aktiviti itu bertambah pelik kerana jika kutipan tidak mencapai sasaran, murid akan disuruh mengulangi kutipan.

Seorang lagi penjawat awam pula berkata ada masanya sekolah akan menyertakan surat memohon kebenaran ibu bapa bagi menjadikan kegiatan itu kelihatan lebih rasmi.

"Ibu bapa terpaksa membenarkan anak-anak mereka untuk terlibat sama disebabkan surat itu," katanya menambah anak saudaranya yang berusia 11 tahun terpaksa melakukan aktiviti tersebut dari rumah ke rumah hampir setiap tahun atas nama persatuan atau pun program.

"Ada pro dan kontra dalam perkara ini, namun saya risau keselamatan murid-murid di sekolah rendah," katanya.

Seorang peserta forum dalam talian melahirkan kemusykilan apabila pihak sekolah bukan sahaja menganjurkan kutipan derma tetapi turut menjanjikan hadiah bagi murid yang berjaya melakukan kutipan tertinggi.

Kebanyakan peserta forum itu berpandangan aktiviti tersebut boleh dijalankan namun tidak wajar diwajibkan kepada setiap pelajar. - dipetik daripada BERNAMA
 
 Cikgu Sharul - Sekolah Cikgu Sharul pun baru lepas kutip derma sekolah...itu lagilah, tak berkaitan dengan sekolah langsung, pun disuruh kutip..siap buat report polis lagi kalau hilang kad derma....

Thursday, August 2, 2012

CUEPACS cadang imbuhan tetap perumahan diselaras

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.

Timbalan Presiden Cuepacs, Aziz Muda, berkata cadangan berkenaan antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.
"Satu perkara yang kita beri penekanan kepada suruhanjaya adalah isu perumahan. Ini kerana dengan lonjakan harga rumah, dengan gaji yang diterima penjawat awam pada hari ini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah.

"Jadi kita minta suruhanjaya dan kerajaan melihat perkara ini secara komprehensif," katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan penambahbaikan perkhidmatan awam di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.

Beliau berkata semua cadangan itu diharap dapat dilaksanakan tahun depan.

"Kita juga minta 22 klasifikasi perkhidmatan yang telah diberi persetujuan untuk dinaik taraf (dalam Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)) daripada gred 17 kepada gred 27 seperti juruteknik, renjer hutan, pembantu pertanian berkuatkuasa 1 Jan 2012," katanya.

Aziz berkata selain 23 syor itu, Cuepacs turut membentangkan 23 isu penjawat awam pada masa ini serta 24 cadangan penambahbaikan untuk memberi pengiktirafan kepada penjawat awam.

Katanya Cuepacs komited mengubah persepsi rakyat mengenai kualiti perkhidmatan awam demi kepuasan rakyat.

"Kami komited untuk memberi jaminan kepada kerajaan bahawa Cuepacs menyokong penuh supaya perubahan drastik dibuat untuk memperbaiki sistem penyampaian yang ada sekarang ini," katanya. 
- dipetik daripada BERNAMA
Cikgu Sharul Alangkah bagusnya jika cadangan ini menjadi kenyataan...

Cuti Berganti Sempena Hari Raya Aidil Fitri 2012




 Cikgu Sharul - Boleh lah cuti awal sikit...