Saturday, December 31, 2011

SELAMAT TAHUN BARU 2012


Kepada semua para pendidik, Selamat Tahun Baru 2012... Moga-moga Tahun Baru 2012 ini memberi kita lebih banyak peluang dan idea untuk meningkatkan lagi tahap dan mutu pendidikan di negara kita....

Friday, December 30, 2011

Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan untuk tentu mutu BI

Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan tahun depan bagi menentukan standard pencapaian Bahasa Inggeris pelajar sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kini hanya terdapat satu pasukan khas Kementerian Pelajaran untuk menentukan pencapaian Bahasa Inggeris pelajar sekolah yang juga akan merujuk kepada pihak luar dalam menyediakan kertas peperiksaan.

"Bila kita kata pelajar itu pandai Bahasa Inggeris, itu apa maknanya, apa ukurannya, jadi untuk tujuan itu, kita sedang memikirkan pembentukan Majlis Bahasa Inggeris untuk menanda aras standard Bahasa Inggeris yang kita gunakan di Malaysia.

"Kerajaan tidak mahu bersikap syok sendiri untuk menyatakan bahawa pencapaian bahasa Inggeris yang dicapai oleh sekolah-sekolahnya mencapai piawaian antarabangsa kerana ada orang kata, mutu bahasa Inggeris pelajar dan rakyat negara ini masih rendah dan ada yang kata sebaliknya," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini bagi melihat persiapan pihak sekolah bagi sesi persekolahan 2012 yang akan bermula minggu depan.

Beliau berkata, majlis itu yang akan ditubuhkan selepas mendapat persetujuan kerajaan akan menggunakan pakar dari dalam dan luar negara serta mungkin akan mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge.

Katanya, majlis itu akan berfungsi sebagai badan bebas dan boleh juga dirujuk oleh pihak luar.
Muhyiddin hari ini turut mengumumkan bahawa Jawatankuasa Khas MBM/MBI (Mermartabatkan Bahasa Malaysia/Memperkukuhkan Bahasa Inggeris) merumuskan bahawa seramai 164,324 pelajar sekolah rendah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya untuk mempelajari Sains dan 161,123 dalam Matematik.

Sementara itu, seramai 56,025 pelajar mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris dan 56,248 pelajar dalam subjek Matematik, katanya.

"Selebihnya mengikuti subjek tersebut menggunakan dwibahasa iaitu 258,622 dalam subjek Sains serta 261,600 dalam Matematik," katanya.

Beliau juga memaklumkan seramai 449,475 murid akan memulakan Tahun Satu di seluruh negara pada Januari ini dan seramai 437,475 pelajar lagi akan memasuki sekolah menengah.

Beliau berkata, kerajaan akan berusaha memastikan musim persekolahan yang bermula Januari ini berjalan lancar.

"Kerajaan sudah menempah 122,846 unit kerusi dan 122,675 unit meja dan 24.4 juta buku teks untuk kegunaan para pelajar di negara ini melalui peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta," katanya.

"Jika ada masalah pun ia berlaku di tiga buah sekolah di Pulau Tioman kerana penghantaran terpaksa ditunda akibat keadaan laut yang agak bergelora," katanya.

Untuk menampung pertambahan pelajar, katanya kerajaan telah menyiapkan sebanyak 26 buah sekolah rendah dan 25 buah sekolah menengah baru dan sebahagian besar dari sekolah itu akan mula menerima pelajar pada Januari depan, katanya. - dipetik daripada BERNAMA

Cikgu Sharul - Kualiti perlu ditentukur oleh suatu badan tertentu, begitu juga kualiti Bahasa Inggeris..

Friday, December 23, 2011

SBPA; JPA dan CUEPACS berunding hari ini

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengadakan rundingan hari ini bagi menyelesaikan isu berbangkit berhubung pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari ini.

Difahamkan, perbincangan itu akan menentukan sama ada SBPA ditangguhkan ke satu tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak atau sebaliknya.

JPA dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini petang semalam mengesahkan perbincangan itu akan diadakan hari ini.

“Berikutan terlalu banyak pertanyaan diterima mengenai status pelaksanaan SBPA, adalah dimaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti ditetapkan.
“JPA bersama CUEPACS akan mengadakan perbincangan esok (Jumaat) bagi membincangkan isu dibangkitkan CUEPACS,” kata kenyataan itu.

Sebelum itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, serta beberapa pegawai kesatuan sekerja yang mewakili kira-kira 1,4 juta penjawat awam mengadakan pertemuan kira-kira 45 minit dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pejabat Perdana Menteri, di sini, berhubung isu sama.
Bercakap pada sidang media di Serdang selepas pertemuan itu, Omar berkata Perdana Menteri mengarahkan diadakan perundingan segera bagi menyelesaikan isu itu.

“Rundingan berkenaan antara lain adalah CUEPACS dan JPA menentukan sama ada pelaksanaan SBPA diteruskan mulai 1 Januari depan atau satu tarikh baru akan ditetapkan.

“Perdana Menteri berharap semua pertikaian dan kekeliruan berhubungan SBPA dapat diselesaikan sebaik mungkin dengan persetujuan kedua-dua pihak sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun depan,” katanya.

Berikutan itu, Omar berkata beliau akan mengetuai delegasi CUEPACS untuk mengadakan pertemuan dengan wakil JPA di sini, hari ini (Jumaat) bagi menyelesaikan isu pelaksanaan SBPA.

Sementara itu, Pemuda UMNO berharap rundingan antara JPA dan CUEPACS hari ini dapat menyelesaikan isu SBPA di samping menjamin keadilan serta ketelusan buat 1.4 penjawat awam seluruh negara.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata rundingan terbabit dapat memastikan keadilan dan ketelusan dalam SBPA serta semua persoalan dibangkitkan dapat diselesaikan.

“Saya berharap rundingan dilaksanakan dengan berhemah agar isu dibangkitkan dapat diselesaikan segera bagi menepati sasaran dan iltizam kerajaan untuk membina warga kerja awam cekap, produktif serta mampu merealisasikan perancangan transformasi negara,” katanya.

-dipetik daripada Berita Harian

Cikgu Sharul - Risau, antara ya atau tidak...Tandatangan atau tidak...Berdebar nih...

Usah cuba hidupkan PPSMI; Dasar MBMMBI Turut Tekankan Bahasa Inggeris di Kalangan Pelajar

Kementerian Pelajaran meminta semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) tidak cuba menghidupkan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan, bagi mengelakkan isu itu terus menjadi polemik yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Kerajaan telah membuat keputusan muktamad berhubung perkara itu dan menggantikannya dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang turut menekankan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata cubaan untuk menghidupkan semula PPSMI tidak sepatutnya timbul kerana kerajaan memutuskan untuk melaksanakan ‘soft landing’ sehingga 2021 bagi membolehkan pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah sistem PPSMI meneruskan pengajian seperti biasa dalam dwibahasa atau Bahasa Inggeris.

“Kita telah putuskan untuk mansuhkan PPSMI, tetapi untuk bersikap adil kepada pelajar kementerian buat ‘soft landing’ hingga 2021 supaya pelajar di bawah PPSMI tidak terganggu pelajaran mereka.

“Sepatutnya perkara ini (cubaan untuk hidupkan PPSMI) tidak timbul kerana ia akan menimbulkan polemik saja.

“Kalau pihak terbabit bimbang mengenai penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, kerajaan melakukan penambahbaikan itu dalam MBMMBI. Pengajaran bahasa Inggeris dipertingkatkan dalam dasar baru itu bagi memastikan anak-anak kita dapat menguasai bahasa itu tanpa meninggalkan bahasa kebangsaan,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Mohd Puad mengulas tindakan Pertubuhan Ibu Bapa Prihatin Selangor (CPS) menyerahkan lebih 12,000 surat yang didakwa rayuan ibu bapa pelajar dari sekitar Petaling Jaya, kelmarin yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghentikan proses pemansuhan PPSMI.

Pengerusi CPS, Samsudin Hamid berharap Perdana Menteri menimbang semula pemansuhan itu kerana ia membabitkan agenda nasional dan masa depan generasi muda dan pembangunan negara dengan menekankan pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu dalam bahasa Inggeris tanpa mengetepikan peranan Bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI adalah muktamad dan tidak akan tunduk kepada ugutan berbaur politik serta mahu polemik itu dihentikan demi kebaikan semua pihak.

Mohd Puad berkata, statistik terkini kementerian menunjukkan hanya lima peratus sekolah rendah di seluruh negara menggunakan bahasa Inggeris dalam kelas, manakala kurang 10 peratus sekolah menengah menggunakan bahasa itu sepenuhnya dalam kelas.

-dipetik daripada Berita Harian

Cikgu Sharul - Sudah ada MBMMBI, tak payah lah PPSMI lagi...Nanti bikin gaduh pulak...